KesihatanSemasa

Tak boleh ditegur, sifat si Narsistik

Kenali apa itu narsistik dan ciri-cirinya

“Geram betul kenapa lah si polan susah sangat nak terima pendapat aku?”

“Asyik nak dengar cakap dia saja..”

Mesti anda pernah dengar luahan sebegini kan?

Kebiasaannya, situasi begini sering terjadi di alam pekerjaan, hubungan bersama pasangan juga institusi kekeluargaan.

Namun, tahukah anda individu yang mempunyai karakter pentingkan diri, kurang empati dan bangga diri ini acap kali dikaitkan dengan gejala narsistik atau Narcissistic Personality Disorder (NPD).

Tetapi, janganlah pula kita semberono ‘label’ seseorang itu menghidap NPD. Kenali dahulu apa itu Narsistik.

Narsistik Penyakit Mental?

Perkataan narsistik sering menjadi buah mulut masyarakat kita apabila seseorang itu mempunyai ciri-ciri seperti sombong, bangga diri dan dahaga pujian.

Walau bagaimanapun, dari sudut psikologi, narsistik ini merupakan gangguan mental di bawah kategori masalah gangguan personaliti.

Pesakit NPD ini lebih bersikap self-centered, namun, tanpa dia ketahui disebalik topeng pentingkan diri itu sebenarnya tersimpan perasaan rasa tidak selamat yang melampau terhadap orang sekeliling.

Sebelum itu, memetik kata-kata Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) dan Pakar Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Hanina H Hamsan, menerusi temu bual bersama Berita Harian, penting untuk kita ambil maklum bahawa personaliti NPD ini tidak hadir secara semula jadi. Ia dibentuk seawal usia kanak-kanak oleh ibu bapa.

“Ibu bapa memainkan peranan utama dalam pembentukan karakter anak ini kerana jika tidak pernah menegur apabila anak melakukan kesilapan, ia boleh mengundang terjadinya personaliti narsistik lebih ketara,” katanya.

Tak perlu tegur akulah,”

Individu yang menghidap narsistik ini jika tidak dikawal boleh memberi impak negatif terhadap diri dan masyarakat sekeliling.

Salah satu ciri jelas yang boleh dilihat pada mereka yang mempunyai personaliti sebegini adalah sikap yang sukar ditegur atau menerima pandangan orang lain.

Pada masa sama, individu sebegini suka menyalahkan orang lain kerana berpendapat bahawa pandangan mereka sudah sempurna.

Tanpa sedar, pandangannya itu hanyalah bersandarkan idealistik bukan realistik.

Hidup dalam fantasi dan angan-angan

Merujuk laman sesawang Help Guide, Narcissistic Personality Disorder, penghidap gejala narsistik ini cenderung untuk mencipta angan-angan dan fantasi bagi melunaskan impian memandangkan secara realitinya keinginan mereka sukar untuk dikecapi.

Angan-angan ini melindungi mereka daripada perasaan kosong dan malu, jadi, fakta yang bercanggah dengannya akan diabaikan atau dirasionalkan.

Oleh itu, anda yang berada di sekeliling individu dengan personaliti ini belajar untuk berhati-hati untuk berdepan dengan penafian mereka.

Gemar memperkecilkan orang lain

Narsisis juga mudah untuk berasa terancam dengan mereka yang mempunyai kelebihan atas kekurangan dirinya.

Justeru, mekanisme yang diambil untuk mempertahankan diri adalah dengan membuli, memandang rendah atau memperkecilkan orang lain.

Perilaku seperti ini sememangnya mengundang perasaan benci daripada orang sekitar kerana ketidakselesaan yang mereka alami.

Tiada Simpati Dan Empati

Selain itu, personaliti narisistik ini amat sukar untuk memahami kesusahan orang lain.

Perasaan tidak ingin ambil tahu tentang orang lain menjerumus mereka terhadap sikap kurangnya empati dan simpati.

Tetapi, jika ia mendatangkan kebaikan pada imej dirinya, pasti situasi ini akan berubah.

Bergaul dengan individu narsistik

Hubungan yang sihat adalah berdasarkan sikap saling menghormati dan mengambil berat. Tetapi tidak untuk narsisis, mereka tidak mampu melakukan timbal balik sebenar dalam hubungan mereka.

Penghidap gejala ini bukan sahaja tidak bersedia, malah, mereka benar-benar tidak mampu.

Mereka tidak mendengar dan melihat masyarakat di sekitarnya. Mereka tidak mengiktiraf anda sebagai seseorang yang wujud di luar keperluan mereka sendiri.

Hal ini, menyebabkan narsisis kerap melanggar batas sempadan orang lain. Lebih-lebih lagi, kelompok yang membuatkan dirinya bertambah mutlak.

Jadi apa tindakan yang wajar untuk berdepan personaliti narsistik?
  • Sediakan perancangan : Jika anda biarkan diri berterusan dikawal dengan individu narsisis, sediakan perancangan sebaiknya untuk keluarkan diri daripada cengkaman mereka. Fokus matlamat sendiri dan bina sempadan agar tidak ditindas.
  • Praktis pendekatan yang lembut : Gunakan kaedah pendekatan yang lemah lembut dan elakkan menggunakan kekasaran kerana ia akan memburukkan keadaan.
  • Bersedia dengan sebarang perubahan : Apa-apa yang mendatangkan kebaikan terhadap diri si narsisis pasti akan dilaksanakan sebaik mungkin. Jadi sentiasa bersedia dengan perubahan secara tiba-tiba supaya anda tidak dimanipulasi.

 

Rujukan :

  • https://www.healthline.com/health/narcissistic-personality-disorder#symptoms
  • https://harianpost.my/apakah-tanda-narsistik/
  • https://origin.bharian.com.my/hujung-minggu/sihat/2022/03/929114/tak-boleh-ditegur-simptom-penyakit-mental
  • https://gempak.com/intrend/narcissistic-personality-disorder-npd-bukan-penyakit-gila-hanya-perasaan-unggul-yang-berlebihan-dan-45455

 

 

 

 

Related Articles

Back to top button