Semasa

Boleh ke berkabung atas kematian orang bukan Islam?

Oleh Khairulanwar Dahlan - Wartawan Pelatih Ummah Today

Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Jadi sekiranya terdapat orang bukan Islam yang kita kenal meninggal dunia boleh ke sebagai orang Islam berasa sedih atas pemergiannya itu? Boleh ke kita sebagai orang Islam berkabung atas dasar menghormati kematian seseorang itu?

Gambar ketika Pahang berkabung selepas berikutan kemangkatan Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah

Berikut adalah penjelasan menurut pandangan Islam berkaitan dengan amalan berkabung atas pemergian orang bukan Islam.

Menurut Dekan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid mengatakan, amalan berkabung bagi menghormati kematian seseorang adalah harus dan tidak bercanggah dalam Islam.

Namun amalan tersebut tidak boleh dilakukan secara berlebihan dengan penganjuran upacara tertentu yang ditegah oleh Islam.

“Dalam Islam, seseorang isteri yang kematian suami disunatkan untuk berkabung selama tiga hari sahaja untuk menunjukkan kesedihan dan kesetiaan terhadap suaminya. Namun, kesedihan itu tidak boleh berlebihan seperti terlalu meratap,” katanya.

Selain itu, amalan seperti mengibarkan bendera separuh tiang seperti yang terjadi sebelum ini iaitu selepas tragedi pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 adalah harus selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Merujuk kepada laman sesawang Mufti Wilayah pula mengatakan asasnya hukum berkabung atas pemergian orang bukan Islam, apatah lagi ahli keluarga dan saudara terdekat adalah harus dan dibolehkan.

Asas terhadap keharusan tersebut diambil daripada perbuatan Rasulullah SAW yang bangun menghormati jenazah seorang Yahudi yang lalu di hadapan Baginda atas dasar kemanusiaan.

Begitu juga dengan kisah seorang sahabat Nabi bernama Qays Bin Syamas yang pernah menyatakan hasratnya kepada Rasulullah untuk menghadiri majlis kematian ibunya yang beragama Nasrani, Nabi membenarkan dan menyuruhnya berjalan di hadapan jenazah sebagai tanda hormat.

Jadi hukum untuk berkabung atas pemergian pemimpin negara bukan Islam adalah harus selagi mana tidak bercanggah amalan Islam. Mengibarkan bendera separuh tiang bagi menghormati orang bukan Islam yang meninggal dunia juga dibolehkan oleh Islam.

Related Articles

Back to top button