EkonomiSemasa

Petugas media berperanan penting sebar berita benar – PM

Khususnya dalam aspek pengurusan ekonomi negara

KUALA LUMPUR: Petugas media berperanan penting menyebarkan berita benar, khususnya dalam aspek pengurusan ekonomi negara bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan orang ramai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata banyak pihak sengaja mengelirukan masyarakat dengan memberikan maklumat tidak benar berhubung situasi ekonomi semasa negara.

“Hari ini terdapat kekeliruan daripada pihak tertentu yang mengatakan kerajaan gagal, ekonomi merudum, rakyat tidak mampu berbelanja, pengangguran meningkat.

Ada cubaan buat protes dan ‘flashmob’ yang kata ekonomi makin teruk, selain ia turut diperkatakan di media sosial tapi perkara sebenar adalah sebaliknya.

Justeru melalui puan-puan, berita yang benar perlu disebarkan supaya rakyat tidak keliru,” tegas Perdana Menteri dalam Majlis Hi-Tea Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA), hari ini.

Perdana Menteri dalam ucapannya turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM300,000 kepada PERTAMA.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Presiden PERTAMA, Sariha Mohd Ali.

Perdana Menteri berkata, prestasi ekonomi negara yang berada di landasan kukuh untuk kembali pulih dan berdaya tahan dibuktikan apabila Bank Negara mengumumkan prestasi suku kedua ekonomi negara pada tahun ini berkembang sebanyak 8.9%.

Beliau berkata, prestasi suku kedua ini yang tertinggi dan terbaik di Asia Tenggara dan juga negara utama di dunia.

“Meskipun kita berdepan dengan kenaikan inflasi dunia, perbelanjaan isi rumah dan perniagaan meningkat dan menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.”

Malah berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan rekod baharu pada bulan Mei lalu dengan merekodkan RM129.8 bilion, sekali gus menjadi jualan tertinggi sejak tahun 2013,” katanya.

Perdana Menteri berkata, selain itu, jumlah dagangan Malaysia juga melepasi paras RM2 trilion buat pertama kalinya pada tahun 2021, meningkat 24.9 peratus, berbanding tahun sebelumnya hasil prestasi memberangsangkan bagi eksport domestik dan eksport semula.

Katanya, sejak negara beralih ke fasa peralihan endemik, kadar pengangguran negara kembali menurun ke paras seperti sebelum pandemik COVID-19 iaitu 3.8 peratus.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa jumlah aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) bersih bagi tahun 2021 ialah sebanyak RM48.1 bilion, mengatasi tahun sebelum wabak COVID-19.”

“Pada suku pertama tahun ini sahaja, nilai ini adalah hampir separuh bagi keseluruhan tahun 2021, iaitu melebihi RM24 bilion,” katanya.

Beliau berkata, pembentangan Bajet 2023 pada bulan Oktober ini akan terus memberi penekanan kepada kebajikan Keluarga Malaysia dan juga kesediaan negara berdepan kemungkinan krisis ekonomi global yang lebih mencabar berbanding sebelum ini.

Turut sama hadir adalah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Senator Datuk Ras Adiba Radzi (kanan). – Foto BERNAMA

Mengenai wanita, Ismail Sabri berkata, pihaknya mengarahkan penyertaan golongan wanita dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sekurang-kurangnya 30 peratus sebagai ahli lembaga pengarah menjelang mesyuarat agung tahunan pada tahun 2023.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 210 buah syarikat sendirian berhad sudah mempunyai lebih 30 peratus wanita dalam lembaga pengarah syarikat daripada 900 buah syarikat sendirian berhad.

“Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga sudah meminda senarai keperluan Bursa Malaysia untuk mewajibkan semua syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli lembaga pengarah wanita.”

“Pihak SC menggunakan pendekatan yang standard, semua syarikat besar dengan permodalan pasaran sebanyak RM2 juta pada 31 Disember 2021 akan melaksanakan keperluan ini bermula 1 September ini, manakala bagi syarikat lain pula, ia berkuat kuasa mulai 1 Jun 2023,” katanya. – BH Online

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button