SUKAN : Perbalahan isu Nagorno Karabakh, yang melebihi sedekad kian sengit walau gencatan senjata dipersetujui baru-baru ini.
Isu dunia itu juga terheret dalam kancah bola sepak dunia apabila Mesut-Ozil pemain bola sepak Jerman berdarah Turki menyatakan sokongannya kepada Azerbaijan.
Sementara bekas rakan sepasukannya ketika beraksi untuk Arsenal, Henrikh Mkhitaryan mendesak pemimpin dunia membela Armenia.
Perbezaan sokongan oleh kedua-duanya rancak di twitter, apabila masing-masing meluahkan pendirian mereka.
Selasa lalu, Ozil dalam twit beliau menyebut “ Masalah Azerbaijan adalah masalah kita bersama”.
Ozil merujuk kepada kata-kata yang pernah diungkap Prsiden pertama Turki, Kamal Atartuk.
“Satu bangsa, dua negara” tambah kenyataan ditulis Ozil besertakan emoji bendera Turki dan Azerbaijan.
Dalam hujahnya yang agak panjang Ozil berkata penting untuk semua manusia di dunia mengetahui hakikatnya Nagorno Karabakh adalah sah dan dikenali dunia, sebagai sebahagian daripada Azerbaijan.
Malangnya rantau itu diduduki secara haram oleh tentera Armenia.
“Pada Mac 2008, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyatakan resolusi wilayah Azerbaijan dan menuntut pengunduran tentera Armenia, saya merayu masyarakat dunia menegakkan kebenaran itu” – Ozil Mesut
Beliau turut menzahirkan kebimbangan PBB berikutan konflik ketenteraan itu yang mengancam keselamatan keamanan sejagat.
“Marilah mencapai keamanaan bersama dan bekerja untuk masa depan yang lebih adil tanpa keganasan, setiap jiwa yang terkorban adalah kerugian buat semua”, akhiri kenyataan beliau.
Ini bukan pertama kali Ozil menyatakan pendiriannya kepada isu sejagat kerana pada awal tahun ini Ozil lantang membela ketidakadilan terhadap penindasan negara China ke atas kaum minoriti Uighur.
Ozil terkenal dengan keberaniannya untuk menyatakan pendirian, contohnya pada kejohanan Piala Dunia yang lalu sehingga dia meninggalkan pasukan Jerman.
Tindakan itu gara-gara dia yang dikritik menjemput Presiden Turki Reccep Tayyip pada hari perkahwinannya.
Berbeza pula dengan Mkhitaryan yang meninggalkan Arsenal dan kini menyertai AS Roma.
Berdarah Armenia, Mkhitaryan mahu pemimpin dunia mengambil tindakan ke atas penyerang dan keganasan antarabangsa yang didakwa dilakukan oleh Azerbaijan.
“Tentera Azerbaijan menyasarkan orang awam sebagai mangsa dan membawa konflik ke ambang krisis kemanusiaan.” Keadaan yang berlaku ini adalah kerana campur tangan tentera luar yang berpihak kepada Rusia dan Kesatuan Eropah, yang membentuk ancaman keselamatan juga kepada Armenia” – Henrikh Mkhitaryan
Dalam tweet terdahulunya, Mkhitaryan menjurus kepada Ankara – dengan nada keras mendesak Turki -menghentikan sokongan terhadap serangan ke atas Armenia, termasuk tidak merekrut puak pemisah dalam gerakan ketenteraannya.
Pada tahun 2018, Mkhitaryan meninggalkan Arsenal yang ketika itu bertemu Qarabag, salah satu kelab di Azerbaijan yang berasal dari Naghorno Karabakh.
Pemain bola sepak Armenia itu memerlukan visa untuk pergi ke Azerbaijan namun tidak dipohon Arsenal.
Mkhitaryan, juga terlepas aksi Liga Eropah ketika Arsenal beremu Chelsea di Baku tahun lalu kerana bimbangkan keselamatan dirinya.
Persekutuan bola sepak Azerbaijan menempelak tindakannya itu kerana pihak berkuasa telah memberi jaminan dan langkah perlindungan sebaiknya.
Perebutan wilayah Nagorno-Karabakh yang terletak di antara Armenia dan Azerbaijan telah lama berlaku namun akhir-akhir ini konflik itu dilihat semakin sengit.
Wilayah itu sangat strategik kerana menjadi titik pertemuan antara Empayar Parsi, Rusia dan Uthmaniyyah satu ketika dahulu.
Mempunyai jumlah penduduk sekitar 150,000 orang, 95 peratus penduduknya terdiri daripada etnik Armenia yang berpegang dengan agama Kristian Armenian Orthodox.
Gencatan senjata baru-baru ini juga tidak memberi jaminan persengketaan akan terhenti kerana masih berlaku kejadian berbalas serangan.