Semasa

Selamat Hari Ibu – Kasih Ibu Selamanya

Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih 

Sebagai seorang anak, sudah pasti tarikh keramat ini mesti diingati. Ia sudah menjadi resam dalam masyarakat untuk meraikan hari ibu bagi menghargai pengorbanan seorang ibu.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, hari ibu akan di sambut pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei setiap tahun. Tidak kira anutan apa yang dipercayai, jasa ibu dan bapa tetap dihormati dan dihargai.

Islam adalah agama yang sangat menjaga hubungan baik kepada kedua ibubapa. Amalan berbuat baik kepada kedua ibubapa merupakan ibadah yang paling besar selepas tauhid kepada Allah SWT.

Dalam surah An-Nisa’ Allah SWT berfirman yang bermaksud:

 “Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa.” Surah An-Nisa’:36

Oleh itu Allah SWT meletakkan ibu bapa dalam tangga yang tertinggi. Namun, ada Riwayat yang mengangkat darjat seorang ibu lebih tinggi dari seorang bapa.

Dalam sebuah hadis, seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW:

“Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak aku berbuat baik kepadanya ?”

Maka Rasulullah menjawab,

“Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.” Riwayat Muslim

Bertapa mulianya seorang ibu sehingga Allah SWT mengangkat darjatnya sehingga tiga kali didahulukan berbanding bapa.

Kemuliaan seorang ibu bahkan diakui secara mutlak dalam ajaran Islam, sehinggakan ada ayat yang sangat bermakna digunakan dalam masyarakat iaitu, ‘Syurga di telapak kaki ibu’. Betapa mulianya kedudukan seorang ibu.

Sesungguhnya seorang wanita yang bergelar ibu, antara insan yang sepatutnya kita hormati dan dikasihi. Kerana pengorbanan beliau yang bertarung nyawa semasa mengandung sehingga melahirkan anak-anaknya ke dunia.

Sehingga anak-anaknya besar, peranan seorang ibu tetap diteruskan dalam memastikan keselamatan, keselesaan dan permintaan anak itu dipenuhi dengan baik.

Namun, untuk meraikan hari ibu itu bukan sekadar pada tarikh tertentu sahaja, bahkan kita perlu meraikan ibu sepanjang mana yang kita mampu. Penghormatan dan usaha dalam meraikan ibu bukan terhenti pada nafasnya yang terakhir, kita perlu terus mendoakan kesejahteraan rohnya agar sentiasa dalam rahmat dan kasih saying Allah SWT.

Justeru itu, sebagai seorang anak sewajarnya kita meraikan ibu dan bapa setiap hari dengan hati yang ikhlas terhadap kedua insan mulia ini tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Syurga yang terletak dibawah kaki ibu sebagai bukti kemuliaan seorang ibu yang dipandang tinggi oleh Allah SWT.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button