Semasa

Rayuan Bantuan Keluarga Malaysia dibuka bermula esok

KUALA LUMPUR : Bermula esok, rayuan bagi permohonan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dibuka selama sebulan bagi membantu mereka yang tidak lulus dalam permohonan yang terdahulu.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan sedar bahawa mungkin ada rakyat yang masih belum didaftarkan dalam pangkalan data kerajaan walaupun layak menerima BKM.

“Kerajaan mendengar keluhan rakyat dan sehubungan itu telah bersetuju untuk membuka rayuan kepada #KeluargaMalaysia yang tidak lulus permohonan sebelum ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya semalam.

Mengulas lanjut, permohonan rayuan boleh dibuat menerusi dua kaedah sama ada secara dalam talian melalui Portal Rasmi BKM LHDNM 2022 di https://bkm.hasil.gov.my atau penghantaran Borang Rayuan BKM 2022 secara manual.

Penghantaran borang rayuan secara manual boleh diserahkan mulai 9 Mei ke cawangan, Pejabat Satelit (PS), Pusat Khidmat Hasil (PKH) atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM yang berhampiran.

“Pembayaran rayuan BKM kepada pemohon yang lulus akan disalurkan pada bayaran Fasa 3 dan Fasa 4 dijadualkan pada September dan Disember 2022,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut memaklumkan bahawa kerajaan sudah mengemas kini data golongan B40 yang layak menerima BKM.

Setakat ini, hampir RM2 bilion bantuan Fasa 1 BKM telah disalurkan kepada hampir sembilan juta penerima B40 seluruh negara pada Mac lalu.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button