Covid19KemanusiaanSemasa

‘Hampa Tunggu Kami Mai’ – MAPIM Lancar Konvoi Siri Jelajah Peduli Ummah Bawa 8,000 Kotak Makanan Ke Utara

PUTRAJAYA – Hari ini Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sekali lagi mencatat sejarah baru sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pertama di Malaysia yang melaksanakan misi kemanusiaan berskala mega bagi menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan dalam menghadapi krisis COVID-19 dalam Siri Jelajah Peduli Ummah bermula 15 – 23 Mei 2020 di Perlis, Kedah, dan Pulang Pinang.

Dalam acara flag off petang tadi, MAPIM melancarkan konvoi  besar-besaran bersama-sama Menteri di Pejabat Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) YB Datuk Seri Mohd Redzuan bin Md. Yusof dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Roslan Wahab di bulatan Putrajaya kira-kira jam 5:00 petang.

Dengan kerjasama dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), jelajah ini akan dilaksanakan dengan penglibatan lebih 50 orang anggota, melibatkan penggunaan empat buah lori kontena 40 kaki, 3 buah bas double-decker, dua buah lori MAN 7 tan APM, kenderaan marshal APM, sebuah van ambulans MAPIM Malaysia dan 36 buah kenderaan sokongan 4×4 sukarelawan lapangan di negeri terlibat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, (Dr.) Ahmad Sani Dato’ Abdul Alim Araby jelajah ini merupakan kesinambungan kepada usaha  MAPIM bersama rakan strategiknya yang prihatin bagi menyampaikan amanah orang ramai kepada golongan yang memerlukan.

Kita bekerjasama dalam satu pasukan dengan rakan-rakan strategik antaranya adalah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Lembaga Pusat Urus Zakat Negeri Kedah, Jabatan Kebajikan Malaysia, Hasani Group of Companies, FGG Wealth, Gaia Plas, Cdert Ohsem Network, Yayasan Qayyum, Al-Khair Foundation (UK), TV Al-Hijrah, Al-Araby Group of Companies, Kiffah Group of Companies, Persatuan Kelab Radio Negeri Kedah dan banyak lagi.

– (Dr.) Ahmad Sani, CEO MAPIM Malaysia

Dengan penambahbaikan yang melibatkan empat sektor bantuan dan perkhidmatan tambahan khususnya bersempena bulan Ramadhan 1441H, fokus dalam jelajah ini termasuklah:

  1. Bantuan pek bekalan makanan asas
  2. Ummah Double Decker Mobile Clinic
  3. Program 365 Hari Aku Dengan Al-Quran
  4. Tazkirah Jelajah Ramadhan

Sebanyak 8,000 pek makanan asas mengandungi beras, tepung, minyak masak, makanan dalam tin dan lain-lain akan mula diagihkan mengikut kategori yang disediakan iaitu pek jenis A, B, atau C bergantung kepada bilangan isi rumah penerima.

Selain daripada itu, melalui jelajah ini MAPIM juga melancarkan projek Ummah Double Decker Mobile Clinic, inisiatif khidmat perubatan pertama di Malaysia yang menggunakan bas dua tingkat dengan prasarana 4 buah suites rawatan dan fasiliti perubatan bagi menyediakan kemudahan kepada orang awam khususnya di desa serta kawasan yang perlu mendapatkan rawatan pesakit non-covid tanpa dikenakan sebarang caj.

MAPIM juga bakal melaksanakan program kerohanian melalui program tilawah harian dan tazkirah yang akan disiarkan secara live di laman sosial MAPIM. Usaha ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada orang awam turut sama membaca ayat-ayat suci Al-Quran bersama qari terpilih dan mengupas mengenai isu-isu semasa serta menghebahkan kempen bantuan bagi menarik perhatian orang ramai untuk turut sama membantu golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 ini.

MAPIM membuka peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan bencana dan kemiskinan di dalam dan luar negara dengan hanya RM200, RM300 & RM500 untuk bekalan bantuan makanan selama sebulan sempena Ramadhan dan Syawal yang akan datang tidak lama lagi. Sumbangan boleh dibuat melalui:

Akaun Maybank
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
5622 6354 0066

Atau menghubungi talian Hotline MAPIM Malaysia menerusi 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016.

Ilham Azmi

I believe words are more powerful than guns.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button