Oleh : Wartawan Pelatih, Hasanah Yusof
Melentur buluh biarlah dari rebungnya, peribahasa klasik yang masih relevan dalam mendidik anak-anak pada zaman sekarang.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menunjukkan contoh yang baik dan bertanggungjawab membentuk sifat peribadi anak-anak mereka.
Selepas dua kali Ramadan, masjid sepi daripada ibadah pada malamnya, alhamdullillah Ramadan tahun ini, umat Islam seluruh Malaysia berpeluang menunaikan amal ibadah mereka di masjid-masjid.
Peluang ini turut digunakan oleh ibu bapa bagi membawa anak-anak untuk memeriahkan serta mengimarahkan masjid.
Di sinilah isu ini bermula, adakah membawa kanak-kanak ke masjid suatu tindakan yang tepat?
Tidakkah ia akan mengganggu ketenteraman jemaah ketika mengerjakan ibadah?
Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah al-Ansori RA, baginda SAW bersabda :
رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَأُمَامَةُ بِنْتُ أَبِي الْعَاصِ وَهِيَ ابْنَةُ زَيْنَبَ بِنْتِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ السُّجُودِ أَعَادَهَا
Maksudnya: “Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 845]
Hadis ini menjadi dalil bahawa kanak-kanak masuk ke dalam masjid adalah dibolehkan.
Dalam mendidik anak-anak kecil, ibu bapa harus menanam sifat cinta dan rindu ke rumah Allah dan Insya-Allah mudah-mudah amalan ke rumah Allah akan kekal hingga mereka dewasa.
Walau bagaimanapun, sesetengah ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak mereka yang kecil ke masjid kerana dikhuatiri bising dan menganggu jemaah lain beribadah.
Pada satu sudut ini merupakan tindakan yang boleh dipuji terhadap ibu bapa tetapi jika dilihat daripada sudut yang berlainan, inilah peluang terbaik ibu bapa mengajak anak-anak ke masjid supaya mereka terbiasa menjejakkan kaki ke rumah Allah.
Sekiranya kita melihat negara Turki, beberapa masjid seperti masjid Hamdi Cami di Ankara, afa menyediakan tempat khas untuk kanak-kanak bermain di dalam masjid iaitu di sudut kanan bawah tangga.
Selepas tarawih, Imam masjid tersebut akan mengajak kanak-kanak bermain bersama dengan tujuan memberikan mereka perasaan seronok dan teruja ketika hadir ke rumah ALLAH.
Sultan Muhammad Al-Fatih, pernah berkata khuatirlah olehmu bila masjid-masjidmu sudah tak lagi terdengar suara anak kecil.
Sesungguhnya, anak-anak yang dilahirkan adalah suci dan ibu bapa adalah paling penting bagi menjadikan anak-anak mereka soleh dan solehah.
Didiklah mereka dengan agama supaya pada masa akan datang anak-anak itu dapat menjadi hamba Allah yang baik dan akan mendoakan kita nanti.
DIharapkan ibu bapa lebih terbuka hati dan minda membawa anak-anak mereka ke rumah Allah dan semoga pihak pengurusan di seluruh Malaysia mewujudkan inisiatif bagi menambah ruangan bermain untuk kanak-kanak seperti di negara Turki.
Ini kerana anak yang senang berada di masjid, akan membesar menjadi dewasa yang mudah ke masjid. InsyaAllah.