Pengurus lombong ditipu Macau Scam hilang RM40,000
Oleh: Izzul Nazaruddin, wartawan pelatih
KOTA BHARU :Nasi menjadi bubur apabila pengurus lombong bijih telah ditipu Macau Scam dan mengalami kerugian sebanyak RM40,000
Mangsa yang berusia 36 tahun itu dikatakan mendapat panggilan dari individu yang menyamar sebagi pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengatakan mangsa mempunyai tunggakan cukai.
Ketua Jabatan Siasatan Jenanyah Komersil (JSJK) Kelantan, Asisten Komisioner Mohd Wazir Mohd Yusof berkata modus operasi yang dialami mangsa adalah sama dengan mangsa-mangsa yang lain.
“Mangsa dikatakan mempunyai cukai tertunggak sebanyak RM98,000 dan talian disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sebelum dimaklumkan mangsa juga terbabit dengan dadah dan penggubahan wang haram”
“Mangsa kemudian diminta membuka satu akaun bank yang baharu kononnya untuk menjalankan siasatan terhadap kesemua wang milikan mangsa. Disebabkan takut, mangsa membuka akaun Bank Islam dan memindahkan wang miliknya daripada akaun Tabung Haji ke akaun itu sebanyak RM40,000,” katanya.
Mangsa juga mengisi maklumat bank pada pautan aplikasi yang disediakan oleh scammer tersebut dan diberitahu siasatan akan dijalankan selama tiga hari sebelum boleh mengambil semula wang yang dimasukkan.
Namun, mangsa berasa curiga dan telah menghubungi pusat khidmat pelanggan Bank Islam.
“Selepas menghubungi pusat khidmat pelanggan bank Islam, mangsa dimaklumkan baki akaunnya hanya tinggal RM100,” tambahnya.
Mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Gua Musang dan kes disisiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-AGENSI