Semasa

Kerajaan tubuh RCI siasat isu berbangkit Tabung Haji

KUALA LUMPUR : Kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (LTH)

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri berikutan isu-isu yang berbangkit berkaitan pengauditan perunding-perunding dari tahun 2014 hingga 2020.

“Hasil daripada Mesyuarat Jemaah Menteri semalam (14 Julai), ianya telah dipersetujui supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (LTH) hasil pengauditan perunding-perunding dari tahun 2014 hingga 2020.

“Ini adalah wajar bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dilaksanakan demi memastikan LTH dapat menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

RCI juga akan menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan (cover up) maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkikan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan, selain mengemukakan laporan hasil semakan dan syor mengenai tindakan susulan kepada kerajaan jika perlu dalam tempoh tiga bulan.

Ismail Sabri juga berkata RCI juga akan mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, jika didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan apa-apa siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan.

Jelasnya, perincian berhubung penubuhan RCI dari segi terma dan rujukan serta kanggotaannya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Jabatan Perdana Menteri akan mengenal pasti senarai keahlian RCI dari kalangan pakar-pakar dalam bidang Syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.

– BERNAMA

Oleh Pelatih Hafeez Anuar (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media)

 

Related Articles

Back to top button