Semasa

Bulan suci Rejab menyimpan seribu satu keistimewaan

Kurang dari 60 hari, seluruh umat islam di dunia akan menyambut bulan suci Ramadhan dengan penuh ceria. Tetapi ada satu bulan mulia di dalam kalender islam yang sering umat Rasullulah saw terlepas pandang.

Bulan Rejab merupakan bulan ketujuh dalam tahun Hijrah dan memiliki keutamaan yang penting dalam Islam. Bulan ini juga dipanggil sebagai bulan Mikraj kerana pada bulan ini terdapat peristiwa Israk dan Mikraj. Kebanyakkan umat islam hanya tahu peristiwa Isra Mikraj yang berlaku dalam bulan Rejab, tetapi tahukah anda ada banyak lagi peristiwa yang berlaku?

Bulan Rejab juga antara bulan yang dimuliakan oleh Islam dengan amalan sebagai persediaan untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan. Persediaan dalam menyambut bulan Ramadan dengan meningkatkan amalan pada bulan Rejab adalah amat membantu kepada pembentukan takwa seseorang Mukmin.

Banyak peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah antaranya Peristiwa Isra’ Mikraj. Peristiwa agung 27 Rejab iaitu Baginda Rasulullah S.A.W telah diperjalankan oleh Allah dari Makkah ke Baitul Maqdis di waktu malam dan ketika itu juga sekali lagi dibelahnya dada Baginda Rasul S.A.W. Kemudian diangkatnya Baginda Rasul ke langit bertemu Allah, dan Allah telah memerintahkan kewajipan ibadah solat 5 waktu kepada umat Baginda Rasul.

Selain itu pada bulan Rejab juga peristiwa pembebasan kedua Baitul Maqdis sudah pun berlaku. Tentera Islam yang dipimpin oleh Solahuddin Al-Ayubi telah Berjaya menawan kembali Baitul Maqdis kali kedua pada 583 Hijrah menewaskan tentera Salib yang menjajah kawasan tersebut selepas pembukaan pertama oleh Saidina Umar Al-Khattab R.A.

Bulan Rejab merupakan di antara satu bulan yang mulia dan bulan Rejab termasuk di dalam bulan-bulan Haram. Bulan-bulan Haram adalah terdiri daripada empat bulan iaitu Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah.

Ramai umat islam yang melakukan amalan sunat di bulan Rejab termasuklah puasa sunat. Walaubagaimana pun, tiada hadis sahih yang melarang atau menuntut kita untuk melakukan amalan puasa sunat di bulan Rejab.

Sebahagian pendapat ulama memberi saranan kepada umat Islam agar memperbanyakkan puasa sunat di keseluruhan bulan haram tanpa mengkhususkan di bulan Rejab sahaja. Tetapi berpuasa pada bulan Rejab adalah baik kerana ia akan membantu kita untuk bersedia sebelum menjelang bulan Ramadhan.

Sempena kedatangan bulan Rejab menandakan kita sedang menghampiri Ramadan al-Mubarak, sebagai umat Islam, kita hendaklah memanfaatkan dengan mempertingkatkan pelbagai amalan baik yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan juga sunnah Rasulullah SAW dan berharap semoga Allah SWT sentiasa memberi kita taufiq dan hidayah-Nya dalam setiap amalan yang kita lakukan.

 

 

 

Related Articles

Back to top button