Tonga dibadai tsunami selepas letusan gunung berapi
NUKUALOFA : Letusan gunung berapi dasar laut yang memuntahkan abu dan gas ke udara telah menyebabkan pulau terbesar Tonga, Tongatapu dilanda tsunami sehingga menghamburkan ombak ke ibu kota negara kepulauan berkenaan.
Amaran tsunami telah dikeluarkan untuk kepulauan Tonga. Nasihat waspada tsunami turut dikeluarkan bagi kawasan sejauh Pulau Utara di New Zealand.
Menurut Radio New Zealand (RNZ), jalan-jalan tepi pantai dan hartanah dibadai ombak tsunami yang melepasi pantai seterusnya sampai ke ibu negara Tonga, Nuku’alofa.
Tsunami menyebabkan banjir melanda ibu kota Tonga itu memaksa konvoi askar dan polis memindahkan pemerintah Tonga Raja Tupou VI dari Istana Diraja ke sebuah vila di Mata Ki Eua.
Penduduk berpindah ke kawasan lebih tinggi, kata RNZ ketika ombak membadai perkarangan istana dan jalan-jalan utama.
Abu juga jatuh dari langit di Nuku’alofa petang tadi manakala talian telefon terputus, kata RNZ.
Gunung berapi Hunga-Tonga-Hunga-Ha’apai meletus buat kali pertama semalam dengan menghamburkan abu setinggi 20 kilometer ke udara.
– AGENSI