HULU LANGAT : Program Mobile Clinic anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kini berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Taman Sri Nanding yang dilaksanakan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sri Nanding, hari ini.
Penduduk di sini mula tiba seawal 9 pagi bagi urusan sesi pendaftaran dan pemeriksaan kesihatan masing-masing.
Program yang dihadiri oleh Pengerusi Hospital Pusrawi, Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin bin Syed Mohamed Tahir berkata, dalam masa suasana bencana ini, kesibukan dalam memberi bantuan keperluan asas kepada penduduk di sini membuatkan ramai terlupa terlupa suatu perkara iaitu kesihatan mangsa banjir.
“Kebanyakan daripada mangsa banjir ini, sibuk dalam menguruskan pembersihan semula di kediaman mereka masing-masing sehingga tidak sempat untuk ke klinik atau mana-mana pusat rawatan bagi memeriksa keadaan kesihatan mereka.
“Jadi dalam keadaan sedemikian, konsep klinik bergerak ini merupakan suatu inisiatif yang bertepatan dan sememangnya terbaik, di mana klinik ini akan bergerak ke tempat kejadian serta berada dekat dengan mangsa bencana dan mungkin keluarga mangsa yang mempunyai kesulitan, doktor yang bertugas di sini akan mengambil pesakit dan dibawa ke sini,” katanya.
“Program seperti ini akan memberi impak dan kesan yang baik kepada mangsa bencana kerana bagi pihak MAIWP, kami sangat menitik beratkan tentang penjagaan kesihatan mangsa bencana di seluruh Malaysia,” tambah beliau.
Menurut beliau lagi, program seperti ini akan diteruskan lagi supaya dapat memberi manfaat dan kemudahan kepada semua mangsa bencana.
Beliau berharap konsep klinik bergerak ini diperbanyakkan lagi dan lebih banyak rakan-rakan korporat akan bekerjasama dengan MAIWP dan MAPIM bagi menambah mobile clinic ini.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today