Dunia

Angka korban nahas treler di Mexico meningkat kepada 55 orang

MEXICO CITY : Insiden nahas treler di Chiapas, Mexico menyaksikan peningkatan jumlah mangsa terkorban yang terdiri daripada migran Amerika Tengah kepada 55 orang.

Gabenor Rutilio Escandon memaklumkan kejadian berlaku di lebuh raya yang menghubungkan Tuxtla Gutierrez dengan bandar Chiapa de Corzo di mana treler membawa lebih 150 pendatang tanpa izin itu terbalik kira-kira 3.30 petang waktu tempatan pada Khamis.

“Seorang lagi mangsa meninggal dunia hari ini,” kata gabenor itu di Twitter, semalam.

Penyelaras Perlindungan Awam Mexico, Laura Velazquez Alzua yang berada di lokasi kejadian memberitahu akhbar tempatan, daripada 152 migran, seramai 73 cedera dan 24 lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador, yang dukacita dengan kejadian itu berkata perlunya usaha bagi mengelakkan lebih banyak tragedi sama berulang dengan menangani punca penghijrahan besar-besaran.

Sementara itu, Menteri Luar Mexico, Marcelo Ebrard, berkata kementerian sedang berhubung dengan kerajaan negara asal migran terbabit termasuk Guatemala dan Ecuador serta beberapa lagi negara lain.

Pihak berkuasa berkata, punca trak tersebut terbabas sehingga melanggar tembok penghadang sebelum merempuh jambatan pejalan kaki dipercayai disebabkan daripada masalah teknikal.

– BERNAMA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button