Junta Myanmar digesa bebaskan semua petugas media

GENEVA : Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Myanmar membebaskan semua petugas media yang ditahan di negara berkenaan.
Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet menyuarakan gesaan itu selepas seorang wartawan Amerika Syarikat (AS) dikenakan hukuman penjara 11 tahun.
“Saya menggesa agar wartawan yang ditahan hanya kerana melaksanakan tugas mereka segera dibebaskan oleh tentera Myanmar,” katanya.
Bekas Presiden Chile itu turut mengecam tindakan pihak berkuasa junta mengenakan hukuman yang tidak adil selain menyifatkan perbicaraan tertutup sebagai simbol malang kepada nasib petugas media di negara tersebut.
Menurutnya, junta tentera telah melanggar hak asasi manusia dan cuba menutup laporan berhubung perkara tersebut.
“Myanmar kini kembali ke zaman di mana semua maklumat dikawal serta ditapis dan propaganda sama dilihat ketika pemerintahan rejim tentera sebelum ini,” katanya.
Baru-baru ini, wartawan AS, Danny Fenster dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun atas kesalahan menghasut dan melanggar syarat visa.
Fenster bertugas sebagai wartawan untuk Frontier Myanmar telah ditangkap di lapangan terbang Yangon pada Mei lalu ketika dia cuba meninggalkan negara itu untuk berjumpa keluarganya.
Dia kini menunggu perbicaraan kedua membabitkan pertuduhan menghasut dan keganasan yang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
– AGENSI
Oleh Hafeez Anuar