WASHINGTON : Suntikan vaksin Covid-19 akan mula diberikan kepada 900,000 kanak-kanak dalam tempoh seminggu lagi selepas Amerika Syarikat (AS) memberi kelulusan pemberian Pfizer.
Penyelaras Covid-19 Rumah Putih, Jeff Zeints, berkata kira-kira 700,000 lagi kanak-kanak dalam kalangan usia berkenaan sudah mendapat janji temu di farmasi.
“Program ini semakin rancak dilaksanakan,” katanya.
Mengikut perangkaan, seramai 28 juta kanak-kanak dalam kelompoh usia lima hingga 11 tahun di AS.
Suntikan vaksin akan diberikan di farmasi, pejabat pakar kanak-kanak, hospital kanak-kanak dan tempat tertentu yang dikhaskan.
Secara keseluruhan, suntikan pelalian kepada kanak-kanak akan diagihkan di sekitar 20,000 lokasi yang telah dirancang menggunakan vaksin Pfizer yang diluluskan minggu lalu.
Mereka bakal diberikan dua dos, dengan sela tiga minggu, manakala setiap dos mengandungi 10 mikrogram, berbanding 30 mikrogram yang diagihkan kepada individu berusia lebih berusia.
“Walaupun kanak-kanak kekal lebih berdaya tahan kepada virus ini berbanding golongan dewasa, mereka masih berdepan risiko,” kata Pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit, Rochelle Walensky.
Jangkitan Covid-19 di AS kini menunjukkan pola mendatar pada tahap 73,000 kes setiap hari.
Walau bagaimanapun, musim sejuk mampu mencetuskan risiko gelombang baharu penularan khususnya membabitkan wilayah dengan kadar liputan vaksin yang rendah menjadi kebimbangan pakar.
– AGENSI
Oleh Hafeez Anuar