Covid19Semasa

Sultan Muhammad V seru rakyat Kelantan segera ambil suntikan vaksin Covid-19

Bagi mencapai imuniti kelompok menjelang 30 September ini seperti yang dirancang

KOTA BHARU : Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah rakyat negeri itu segera mendaftar atau mendapatkan vaksin COVID-19 secara terus bagi mencapai imuniti kelompok menjelang 30 September ini seperti yang dirancang.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Muhammad V, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan, berkata baginda juga menzahirkan dukacita kerana Kelantan antara negeri yang mempunyai peratus penerima vaksin yang terendah, iaitu 50 peratus.

“Dengan kes positif di negeri Kelantan di paras empat angka, baginda menyarankan agar semua pihak menggembleng tenaga memperluas Program Outreach Vaksinasi di seluruh Kelantan, terutama sekali di kampung dan pedalaman supaya masyarakat yakin akan keberkesanan vaksin dan tidak bersangka buruk.

“Baginda amat berharap rakyat negeri ini akan segera mendapatkan vaksin supaya Kelantan tidak tercicir dalam mencapai imuniti kelompok dan seluruh rakyat boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik, sekaligus hospital tidak lagi terbeban serta rawatan untuk pesakit lain tidak terjejas.

“Baginda juga mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai peruntukan 1.2 juta dos tambahan untuk Kelantan, bagi membantu mempercepat proses pemberian vaksin,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nik Mohd Shafriman berkata, baginda sangat berharap agar rakyat negeri ini akan segera mendapatkan vaksin supaya dapat melindungi diri sendiri dan ahli keluarga mereka kerana pengambilan vaksin tanggungjawab individu kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Tambahnya, baginda turut merujuk resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam ke-10 yang bersetuju hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Baginda juga merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan program vaksinasi di negara ini, termasuk sukarelawan.

“Penghargaan juga dizahirkan untuk jasa semua petugas kesihatan yang memikul amanah berat dalam merawat dan menyelamatkan pesakit COVID-19, sejak tahun lepas,” katanya.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button