Semasa

SARS-CoV-2 lebih halus dan mudah tersebar

SINGAPURA: Kajian terbaru diketuai penyelidik Universiti Nasional Singapura (NUS) mendedahkan bahawa zarah sindrom pernafasan akut teruk coronavirus 2 (SARS-CoV-2) daripada seorang yang dijangkiti, lebih mudah tersebar sewaktu bercakap atau menyanyi.

Penyelidik NUS mendapati zarah halus yang terapung di udara bersaiz kurang daripada 5 mikrometer (um) yang terhasil daripada dua jenis aktiviti itu, mengandungi lebih banyak zarah virus daripada zarah kasar – lebih daripada 5 um.

Penyelidik membuat rumusan, zarah halus yang tersebar daripada pernafasan mungkin memainkan peranan besar dalam penularan SARS-CoV-2, terutama dalam persekitaran tertutup.

Ketua penyelidik itu, Profesor Madya Tham Kwok Wai menerusi kenyataan semalam berkata, kajian sebelum ini menunjukkan memang wujud zarah yang terapung di udara atau sejumlah zarah halus yang terhasil daripada percakapan atau menyanyi.

“Bagaimanapun, mereka tidak mengukur jumlah zarah virus SARS-CoV2 yang terhasil.

“Menurut pengiraan kita, ini juga adalah kajian pertama untuk mengukur dan membandingkan zarah halus SARS-CoV-2 yang terhasil menerusi pernafasan, bercakap dan menyanyi.

“Oleh itu, kajian pasukan ini menyediakan asas untuk menganggarkan risiko penularan jangkitan,” kata Tham daripada Jabatan Pembinaan Alam Sekitar, Sekolah Pembangunan Reka Bentuk dan Alam Sekitar.

Kajian yang pertama kali diterbitkan dalam jurnal Clinical Infectious Diseases pada 6 Ogos 2021, membabitkan 22 pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke Pusat Penyakit Berjangkit (NCID) daripada Februari hingga April 2021.

Peserta kajian itu perlu melakukan tiga aktiviti pernafasan sehari; aktiviti bernafas selama 30 minit, bercakap selama 15 minit dengan membaca kuat buku kanak-kanak, dan 15 minit menyanyi beberapa lagu. Mereka dibenarkan berehat di antara setiap aktiviti.

Ketika melakukan ketiga-tiga aktiviti itu mereka menggunakan alat yang direka khas bagi mengumpul zarah halus dalam pernafasan yang dikenalil sebagai Gesundheit-II.

“Kita mendapati pesakit COVID-19 peringkat awal meninggalkan kesan zarah asid ribonukleat (RNA) SARS-CoV-2 dalam pernafasan.

“Bagaimanapun, kadar pelepasan virus daripada pernafasan itu berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Agak mengejutkan juga kerana sesetengah pesakit mereka melepaskan lebih banyak virus ketika bercakap berbanding menyanyi,” kata ketua bersama projek penyelidikan itu, Dr Kristen Coleman dari Sekolah Perubatan Duke-NUS.

Dapatan kajian itu menunjukkan bahawa pendedahan terhadap zarah halus yang terhambur daripada pernafasan perlu ditangani, terutama dalam persekitaran tertutup, tempat penularaan SARS-CoV-2 menerusi bawaan udara sering berlaku.

Bagi mengurangkan risiko terdedah terhadap zarah seni ini adalah menerusi langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, meningkatkan tahap pengudaraan bilik, menyediakan sistem penapisan udara lebih cekap dan menggunakan teknologi pembersihan udara yang sesuai.

Khususnya, pasukan penyelidik mencadangkan pendekatan pencegahan berlapis bagi mengurangkan risiko penularan SARS-CoV-2 bawaan udara.

Selepas kemunculan varian Delta yang dilaporkan lebih mudah berjangkit, pasukan penyelidik itu merancang untuk meneruskan kajian menggunakan kaedah sama bagi menentukan sama ada zarah halus yang keluar daripada pernafasan mereka yang dijangkiti varian Delta, turut lebih tinggi berbanding varian sebelum ini.

Oleh kerana, bercakap adalah aktiviti utama masyarakat, penyelidik juga ingin mengkaji tahap risiko jangkitan daripada pernafasan atau pengesanan virus hidup daripada pernafasan mereka yang dijangkiti penyakit berkenaan. – BERNAMA

Related Articles

Back to top button