Semasa

HRPZ II tidak kenakan caj guna utiliti, fasiliti untuk urus jenazah Covid-19

KOTA BHARU : Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) tidak mengenakan sebarang caj untuk kegunaan utiliti dan fasiliti bagi pengurusan perkhidmatan jenazah Covid-19.

Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, perkhidmatan pengurusan jenazah pada amnya bukanlah perkhidmatan yang disediakan oleh pihak hospital berkenaan.

Menurutnya, bagaimanapun terdapat banyak permintaan untuk menyempurnakan jenazah di hospital itu.

“Pihak kami menyediakan kemudahan berkenaan di Jabatan Forensik tanpa mengenakan caj bayaran untuk kos fasiliti dan juga utiliti.

“Sekiranya pihak waris ingin menyempurnakan jenazah di fasiliti kami, senarai pengurus jenazah yang mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) ada disediakan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau merujuk kepada artikel yang bertajuk ‘Kos Urus Jenazah Pesakit Covid-19 Melampau, Aniaya Keluarga – NGO’ yang dilaporkan media pada 8 Ogos lalu.

Tambahnya, pihak waris juga bebas untuk membawa pengurus jenazah sendiri tanpa tertakluk kepada senarai yang disediakan.

“Kos pengurusan jenazah adalah tertakluk sepenuhnya kepada persetujuan bersama waris dan pihak pengurus jenazah yang dipilih.

“Pihak MAIK melalui surat bertarikh 8 Jun 2021 mengeluarkan cadangan kadar kos pengurusan jenazah manakala pihak hospital khususnya Jabatan Forensik tidak pernah menetapkan sebarang kos pengurusan jenazah,” katanya.

Pembayaran dan pengeluaran resit adalah antara pihak pengurus jenazah dengan waris berkenaan tanpa melalui pihak hospital.

“Pada masa sama pihak kami mengalu-alukan keprihatinan dan kesudian mana-mana pihak dalam membantu meringankan beban kos pengurusan jenazah yang perlu ditanggung oleh waris,” katanya.

Terdahulu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan bayaran pengurusan jenazah sebahagian pesakit Covid-19 di negeri ini iaitu antara RM1,300 hingga RM1,800 disifatkan melampau, sehingga menekan keluarga golongan kurang berkemampuan.

Bayaran itu pula hanya membabitkan urusan memandikan jenazah menggunakan kaedah tayamum sebelum dikafankan sahaja dan bukan kos keseluruhan sehingga pengebumian.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button