DomestikSemasa

Ketabahan pengayuh beca yang terpaksa membawa anak bagi mencari rezeki, berikan MAPIM Malaysia inspirasi

Bantu Ummah

Melaka : Bayangkan jalanan di Bandar Melaka sepi tanpa beca yang dihias indah. Ia bukan sesuatu yang menarik untuk dibayangkan kerana beca adalah identiti Bandar Melaka.

Kewujudan pengayuh beca adalah sesuatu yang perlu dipertahankan. Namun pandemik covid-19 yang melanda di seluruh dunia memberikan kesan kepada industri pelancongan termasuklah di Melaka.

Ia secara langsung menekan pendapatan komuniti pengayuh beca di Melaka yang sememangnya bergantung hidup dengan kedatangan pelancong. Ramai antara mereka yang terpaksa mencari pekerjaan lain kerana desakan hidup.

Antara pengayuh beca yang terkesan ialah Mohamad Azuan Abdul Syukur, 34 tahun. Ketika ditemui oleh wakil MAPIM Malaysia, dia memakai baju putih dan mengayuh beca yang bertema kartun Didi and Friend, berwarna merah dan kuning. Sangat ceria.

“Anak saya tujuh orang. Tingkat 4, tingkatan 3, darjah 4, darjah 3, pra sekolah, dua tahun, dan setahun.”

“Ini yang kecil sekali?” tanya wakil MAPIM, merujuk kepada anak comel yang sedang nyenyak di dalam beca.

“Ya. Umur setahun lebih. Emak dia ada urusan sikit di rumah, jadi terpaksa bawa dia.”

Waktu itu matahari sudah tegak di atas kepala. Melihat anak itu lena tidurnya tanda dia sudah biasa seperti itu. Seketika kemudian anak kecil itu terbangun dan tersenyum kepada kami, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Sebelum pandemik, kehidupan Mohamad Azuan agak sederhana. Dia mampu memperoleh pendapatan RM1500 sebulan. Siangnya beliau mengayuh beca dan pada malamnya dia dan isteri berniaga di Dataran Taming Sari.

Selepas sektor ekonomi ditutup bagi menekan penyebaran covid-19, semuanya kini hanya berharap kepada kudrat Mohamad Azuan bagi mencari rezeki untuk keluarga.

“Sekarang kami dah tak meniagalah. Kalau dah tak ada sekatan covid ni, kami boleh meniaga balik.”

Kos pula tidak pernah berkurang, kerana lampin dan susu anak tetap perlu dibeli dan mungkin sebenarnya bertambah kerana anak-anak perlu kepada Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah atau PdPR. Yang boleh dilakukan adalah, mencatu makanan, makan sahaja apa yang ada. Untuk dia dan isteri, berlapar itu sudah biasa, asalkan anak-anak tetap terisi perutnya. Bertambah pilu apabila anak nombor empat mereka yang masih pra sekolah, menghidap sawan dan memerlukan perhatian dan penjagaan yang khusus.

Namun semua itu tidak pernah membuatkan Mohamad Azuan berputus asa dengan hidup. Dia terus mengayuh di sekitar Bandar Melaka kerana ada keluarga di rumah yang menantinya dengan penuh harapan. Untuknya, berputus asa tidak ada dalam kamus hidup.

Selain itu, dia juga mendapat bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan beberapa lagi bantuan lain.

“Bantuan tu cukup?”

Mohamad Azuan terdiam sebentar sebelum berkata, “Saya pun tidak tahu macam mana nak cakap.” Kemudian dia tersenyum. Senyuman yang menggambarkan bahawa hidup memang keras tetapi apa lagi pilihan yang dia ada?

Ini bukan sahaja tentang perjuangan hidup, tetapi ini adalah perjuangan bagi meneruskan tradisi dan budaya. Dia sedar, yang dia tidak boleh kalah. Sekiranya dia menyerah kalah, siapa lagi yang akan meneruskan tradisi pengayuh beca di bumi Melaka? Jadi, dia perlu bertahan walau apapun yang terjadi.

Kehadiran MAPIM Malaysia pada hari ini, yang menyerahkan 101 buah kotak bantuan makanan kepada komuniti beca di Melaka bukan sahaja memberikan sebab untuk Mohamad Azuan tersenyum lebih lebar, tetapi juga bersyukur kerana dia dan rakan-rakannya tidak dipinggirkan. Masih ada yang mengambil berat tentang nasib mereka.

Program santuni ummah di bandar bersejarah ini diketuai barisan pimpinan MAPIM Malaysia, Ketua Aktivis MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al Kahery, Setiausaha Agung MAPIM Malaysia, Mejar Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol dan Bendahari MAPIM Malaysia, Kapten Hj Faris Hussain.

Tidak ketinggalan program istimewa ini turut diserikan dengan kehadiran penceramah terkenal Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff dan selebriti terkemuka, Zizan Razak.

Menurut (Dr.) Sani Araby Al Kahery,

(Dr.) Sani Araby Al Kahery, Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia

“Inilah kisah ketabahan hidup yang kami mahu ketengahkan. Kami mahu berkongsi kisah, bahawa masih ramai yang mampu positif walaupun mengalami kesukaran hidup. Kami mahu ia menjadi inspirasi untuk seluruh rakyat Malaysia. Naratif hidup kita berbeza, tetapi kita punya matlamat yang sama iaitu mahu hidup bahagia. Kita di MAPIM Malaysia, cuba sama-sama membantu bagi mencapai matlamat yang sama itu. Kami sedar bantuan yang diberikan daripada sumbangan rakyat Malaysia ini, tidak akan menyelesaikan masalah mereka, tetapi kami yakin ia mampu meringankan beban yang ada. Dengan meringankan beban mereka, kami berharap, ia membantu mereka untuk terus berfikir secara rasional bagi keluar daripada kemelut hidup yang melanda. Kesihatan mental itu adalah sangat penting pada waktu-waktu begini.”

Selain menyantuni komuniti beca di Melaka, MAPIM Malaysia turut menyantuni pihak Zoo Melaka dengan memberikan 95 kotak bantuan untuk pekerja Zoo Melaka yang terjejas.

Dari kiri, Mejar Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol, Setiausaha Agung MAPIM Malaysia, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff (Penasihat Syariah MAPIM), (Dr.) Sani Araby Al Kahery, (Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia), Yang Berbahagia Datuk Shadan Hj Othman, dan Tuan Zizan Razak

“Kami amat terkesan dengan pelaksanaan PKP kerana jumlah pengunjung ke zoo merudum. Sampai masanya nanti kos overhead RM600 ribu sebulan yang ditanggung Majlis Perbandaran mungkin terpaksa hentikan,” menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Yang Berbahagia Datuk Shadan Haji Othman.

Selain itu MAPIM Malaysia juga memberikan 100 kilogram (kg) serbuk kunyit bagi tujuan ubatan kulit dan buah-buahan kepada tiga ekor gajah yang mesra dikenali sebagai Lily, 10, Mala, 18 dan Hani berusia 44 tahun.

“Terima kasih banyak kepada MAPIM Malaysia sudi hadir menyantuni rakyat Melaka & Zoo Melaka khasnya. Ramai di Melaka ini yang bergantung harap kepada sektor pelancongan, jadi bila tiada pelancongan ramai terkesan & memerlukan bantuan. Kami ada berikan pelbagai insentif, diskaun sewaan gerai kepada peniaga, ada 7 insentif kesemuanya demi kelangsungan kehidupan para penjaja,” tambah Datuk Shadan Hj Othman.

Dalam program yang sama, MAPIM Malaysia turut menyantuni petugas barisan hadapan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan memberikan 50 kotak bantuan makanan.

MAPIM Malaysia mengharapkan rakyat Malaysia dapat memberikan sumbangan bagi membolehkan lebih ramai yang memerlukan dapat dibantu.
——————-

AYUH KITA LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA UNTUK NEGARA

MAPIM Malaysia dengan rendah hati merayu orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan kesusahan dalam negara lanjutan lock down dan covid-19. Ramai hilang pekerjaan dan dibebani dengan ujian

Sumbangan infaq boleh disalurkan menerusi

Akaun Maybank
562263540066
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM

HOTLINE MAPIM MALAYSIA
jika ada keluarga dan jiran yang sangat sangat terdesak seperti diatas, mohon maklumkan pada MAPIM Malaysia menerusi whatapps 0128002016 atau hotline 1300-888-038

 

 

Related Articles

Back to top button