Semasa

Tidak perlu bimbang jatuhan serpihan Roket Long March 5B

Sebahagian serpihan besar akan terbakar di atmosfera menjadi serpihan kecil

KUALA LUMPUR : Lokasi ‘re-entry’ sebenar sisa Roket Long March 5B milik China yang hilang kawalan tidak dapat diramal dengan tepat sehingga beberapa jam sebelum ia berlaku.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah berkata, ketidakpastian ramalan lokasi re-entry adalah sangat besar disebabkan perubahan kadar ketumpatan lapisan atas atmosfera, sifat fizikal objek seperti jisim dan komposisi bahan, serta lokasi dan kelajuan objek itu.

“Ramalan terkini bahawa re-entry roket Long March 5B milik China akan jatuh ke bumi adalah pada 7 Mei jam 9.34 pagi sehingga 9 Mei jam 3 petang waktu Malaysia. Sisa roket masih mengorbit dan semakin menurun menghampiri re-entry zone. Status ketinggian terkini bagi roket pada hari ini ialah pada ketinggian (dari paras laut) 198.3 kilometer (km) manakala ramalan lokasi re-entry ialah antara latitud 41.5° Utara dan latitud 41.5° Selatan,” – Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah

Beliau dalam satu kenyataan kepada media berkata,  Roket Long March 5B dilancarkan pada 29 April 2021 untuk menghantar modul teras (core module) stesen angkasa China yang dinamakan Tianhe dan seberat 22,600 kilogram (kg) ke orbit pengoperasiannya di angkasa.

“Bagaimanapun, peringkat teras (core stage) roket Long March 5B mencapai ketinggian yang cukup tinggi untuk mengorbit bumi selepas penghantaran modul Tianhe. Orbit sisa roket ini adalah jenis elips dengan ketinggian paling dekat 170km dan ketinggian paling jauh 372km daripada paras laut muka bumi.

“Disebabkan seretan atmosfera (atmospheric drag) yang kuat pada orbit ini, sisa roket ini dijangka akan re-entry ke muka bumi dalam beberapa hari selepas penghantaran itu,” katanya. Beliau berkata, setiap pelancaran roket kebiasaannya akan meninggalkan serpihan (debris).

“Saiz serpihan bergantung kepada saiz roket dilancarkan. Memandangkan saiz roket Long March 5B agak besar, maka serpihan yang berkemungkinan akan terhempas ke bumi juga adalah besar.

“Bagaimanapun, sebahagian besar serpihan akan musnah terbakar di atmosfera dan berkecai menjadi serpihan-serpihan kecil. Hanya serpihan yang tidak terbakar sepenuhnya saja yang akan jatuh ke bumi,” katanya.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu terlalu bimbang terhadap bahaya objek re-entry kerana keberangkalian ia menimpa manusia atau merosakkan mana-mana struktur bangunan adalah sangat rendah memandangkan 70 peratus daripada muka bumi adalah terdiri daripada air dan keluasan Malaysia kecil. – Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah

“Tambahan pula, lokasi sebenar re-entry ini masih tidak dapat diramal dengan tepat pada masa kini dan pihak MYSA akan memaklumkan perkembangan peristiwa re-entry ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Azlikamil berkata, orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berikut sekiranya mengesyaki atau melihat kejadian re-entry.

“Tidak menyentuh atau mengambil sebarang objek yang mencurigakan yang disyaki daripada kejadian re-entry ini. Hubungi talian kecemasan ‘999’ dan buat laporan sewajarnya (laporkan pemerhatian, saksi, lokasi dan masa). Adalah lebih baik sekiranya rakaman video dapat dibuat pada ketika kejadian bagi membantu penyiasatan kelak.

“Jangan buat sebarang hebahan dan sebarkan sebarang maklumat palsu yang berkaitan re-entry ini. Sebarang maklumat rasmi yang disahkan hanya akan dihebahkan melalui media massa oleh pihak berkuasa saja,” katanya.

Beliau berkata, objek re-entry terbesar yang pernah dilaporkan ialah stesen angkasa Mir milik negara Russia dengan muatan 120,000 kg pada 23 Mac 2001.

“Sebagai perbandingan, berat sisa roket ini dijangka dalam 21,000 kg dan hanya 1/5 daripada berat stesen angkasa Mir.

“Selain itu terdapat kemungkinan besar hanya sebahagian kecil daripada sisa roket yang akan selamat melepasi atmosfera dan mendarat ke bumi semasa proses re-entry.

“Untuk keselamatan, dilarang menyentuh apa-apa serpihan yang mungkin perolehi atau menyedut wap yang boleh dikeluarkan dari serpihan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai boleh menghubungi MYSA di talian 03-26972570 dan laporkan lokasi dan waktu penglihatan, keterangan mengenai apa yang lihat, dan sediakan sebarang imej atau video yang mungkin dirakam sebagai rujukan.

Related Articles

Back to top button