18,000 guru diambil secara `one-off’
Isi kekurangan guru di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuat pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ia akan membabitkan pengambilan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41.
Iklan pengambilan itu akan disiarkan pada 7 Julai ini manakala penempatan secara berperingkat-peringkat bermula pada Oktober nanti.
Katanya, usaha berkenaan adalah perancangan KPM bawah Pelan Pemulihan Negara yang sebelum ini diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, ketika KPM berdepan cabaran kekurangan calon guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG) selain ketidaksepadanan opsyen mata pelajaran.
“KPM memerlukan untuk mata pelajaran tertentu tetapi bekalan tidak banyak. Wujud keadaan apabila agak sukar untuk KPM mengambil guru baharu bagi memenuhi kekosongan yang ada,” – Menteri Pendidikan / Datuk Dr Radzi Jidin
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas secara maya pagi ini. (20 Jun)
Radzi berkata, antara mata pelajaran dikesan mengalami kekurangan guru adalah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi di peringkat Sekolah Rendah.
Beliau berkata, di Sekolah Menengah, antara mata pelajaran yang menunjukkan kekurangan guru adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.