KemanusiaanSemasa

Hari Pelarian Sedunia 2021: Capai impian dengan kebersamaan

Impian dan harapan mereka tanggungjawab bersama

KAJANG : Tanggal 20 Jun setiap tahun merupakan tarikh keramat buat pelarian di seluruh dunia yang cekal menempuhi liku-liku kehidupan tanpa menemui titik noktah persinggahan mereka di negara orang.

Hari Pelarian Sedunia ini ditetapkan pada setiap 20 Jun bermula pada tahun 2001 bersempena ulang tahun ke-50 persepakatan pada konvokesyen perbincangan status pelarian 1951. Justeru, hal ini mendorong  Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan  Resolusi 55/76.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), pelarian merupakan kelompok yang terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka untuk menyelamatkan diri dan keluarga daripada konflik serta penindasan yang berlaku dalam negara masing-masing. Hari ini, berjuta penduduk dunia menjadi pelarian kekal yang meninggalkan negara asal mereka, dan ada juga yang menjadi pelarian di negara sendiri.

Menurut jumlah pelarian terkini yang dikeluarkan UNHCR, penindasan dan kekejaman terhadap hak asasi manusia yang mengundang pelarian keluar dari negara asal meningkat dalam tempoh sembilan tahun dengan kadar 82.4 juta pada tahun 2020 biarpun pandemik COVID-19 melanda.

Jumlah ini sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak empat peratus berbanding tahun sebelumnya. Sebahagian besar peningkatan ini turut didorong oleh sebilangan pelarian yang melarikan diri dalam sempadan negara mereka sendiri.

Di Malaysia sahaja, terdapat lebih kurang 177,800 orang pelarian dan pencari suaka yang berdaftar di bawah UNHCR. Antaranya, 153,060 orang datang dari Myanmar, termasuk 101,280 etnik Rohingya, 6,650 orang ialah warga Pakistan, 3,640 dari Yemen, 3,270 orang dari Somalia, 3,270 orang dari Syria, 2,650 orang dari Afghanistan, 1,760 orang dari Sri Lanka, 1,230 orang dari Iraq dan 770 orang dari Palestin.

Lebih kurang 46,450 orang pelarian dan pencari suaka ini merupakan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

“Di sebalik setiap angka ada yang dipaksa keluar dari rumah mereka. Mereka memerlukan perhatian dan sokongan kami, bukan hanya dengan bantuan kemanusiaan, tetapi dalam mencari jalan keluar untuk mengatasi masalah mereka.” – Filippo Grandi/ Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian

Tema Hari Pelarian Sedunia 2021 : ‘Bersama kita Pulih, Pelajari dan Bersinar’

Pada tahun ini, Hari Pelarian Sedunia bertemakan ‘Bersama kita Pulih, Pelajari dan Bersinar’ berhasrat untuk membuka mata dunia tentang tanggungjawab setiap masyarakat dalam membantu pelarian agar mendapat layanan yang adil dan saksama kerana mereka juga berhak untuk hidup biarpun menumpang di negara orang.

Dengan slogan ‘Bersama kita pulih’ membawa erti memperluas akses pelarian dalam perkhidmatan kesihatan fizikal mahupun mental juga mendapat kemudahan rawatan dengan mudah dari setiap aspek.

Kanak-kanak pelarian Palestin yang bermain di luar kem Pelarian Al-Shati, Gaza

Manakala, ‘Bersama kita pelajari’ mengetengahkan pendidikan anak-anak pelarian ini demi masa hadapan mereka. Golongan muda pelarian sewajarnya diberi peluang dan ruang dalam mendapatkan pelajaran yang berkualiti dan lebih selesa seperti rakan sebaya yang lain. Justeru, UNHCR menggalakan orang ramai menyumbang untuk mendapatkan biasiswa bagi anak-anak ini melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi supaya mereka dapat membawa perubahan dalam kehidupan.

Selain itu, ‘Bersama kita bersinar’ lebih memfokuskan sudut sukan di mana UNHCR percaya bahawa sukan dapat memberi sinar dalam kehidupan golongan belia pelarian, sekaligus membantu mereka memperoleh kepercayaan diri, menjalin hubungan persahabatan baru dan merasa diri mereka diterima khalayak ramai. UNHCR juga yakin dengan sukan pelarian dapat menggilap bakat dan potensi yang terpendam dalam diri mereka.

Apakah kepentingan Hari Pelarian Sedunia?

Hari Pelarian Sedunia ini amat penting bagi memupuk kesedaran kepada masyarakat untuk peka dengan nasib dan kesungguhan mereka dalam membina sebuah kehidupan. Sedia maklum bahawa tiada seorang pun yang sanggup meninggalkan tanah kelahiran mereka dan merantau jauh untuk mencari perlindungan. Mereka terdesak untuk melindungi diri dan ahli keluarga biarpun terpaksa bergadai nyawa dalam perjalanan. Ada yang kehilangan anak, bapa dan ibu ketika mencari tempat berteduh.

Selain itu, hari istimewa ini memberi penerangan mengenai hak, keperluan dan impian pelarian kepada seluruh dunia. Kehidupan mereka menumpang di negara asing tidaklah senang seperti yang dijaja, sentiasa merasakan diri mereka diancam berikutan sesetengah kerajaan di negara berkenaan tidak memberi pengiktirafan dan melindungi hak mereka.

Pelarian Rohingya di sebalik dawai besi berkumpul di sempadan antara Myanmar dan Bangladesh setelah penempatan mereka musnah dibakar tentera Myanmar

Grandi turut menekankan peranan pemimpin dunia dalam menyelesaikan konflik pelarian ini dan fokus dalam menegakkan hak asasi manusia. Pemimpin seharusnya lebih komited dalam membela nasib pelarian ini dan ketepikan isu politik dan sikap egoistik.

Oleh itu, pelarian juga manusia yang melalui kehidupan yang sama seperti manusia lain. Memerlukan perlindungan hak asasi yang sesuai dan hidup secara bermaruah. Ketepikan sentimen xenofobia dalam kalangan masyarakat sepatutnya diberi keutamaan. Begitu juga rakyat Malaysia yang perlu memberi komitmen dalam menyokong komuniti ini biarpun terdapat perbezaan bangsa, bahasa mahupun agama.

Oleh : Wartawan UmmahToday – Nurshazlin Shahrom/ Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran)

Related Articles

Back to top button