Bagaimana menyambut Hari Bapa untuk yang renggang hubungannya dengan ayah?
Sebuah kasih sayang
Hari bapa disambut hari Ahad ketiga pada bulan Jun, setiap tahun. Jadi tidak ada tarikh yang tetap.
Hari bapa adalah peluang untuk menzahirkan kasih sayang kepada insan yang dikenali sebagai insan yang paling ‘ditakuti’ di dalam rumah.
Tetapi bagaimana untuk mereka yang sudah renggang hubungannya dengan bapa? Yang mungkin tidak setuju dengan keputusan masa lalu ayah mereka, yang mungkin ada kisah masa silam yang kelam?
Renggang hubungan bukan bermakna tidak lagi berbual atau bertemu muka, tetapi mungkin semuanya menjadi dingin.
Sapaan dingin, perbualan juga dingin, juga hubungan mata juga kosong, tidak ada kasih sayang pada mata itu.
Bagaimana?
Mula-mula lembutkan hati kita dengan ayat Quran dan hadis. Antaranya ;
al-Isra’:23
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
- Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ. قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” [Riwayat Muslim (2551)]
Semoga dengan kesucian ayat Quran dan berkat hadis tentang ibu bapa, akan melembutkan hati anak untuk mula menegur ayahnya dengan penuh kasih.
Juga kuatkan hati untuk sentiasa mendoakan ayah, supaya mereka sejahtera dunia akhirat. Semoga Allah memberikan anak-anak dengan kasih sayang yang kuat kepada ayah mereka.
Tanyakan juga kepada orang terdekat, kepada ibu atau pak cik mak cik, kisah ayah kita. Paling tidak mungkin ada kisah ayah marah kepada nurse kerana menyuntik kita dengan kasar, membuat kita menangis.
Atau kisah tentang pengorbanan ayah menghidupkan keluarga, mencari rezeki untuk kita.
Jelas ia memang tentang perjuangan. Tidak ada perkara dalam dunia ini yang didapati dengan mudah.
Apatah lagi apabila ia membabitkan kasih sayang kepada ayah. Perjuangan yang tidak akan pernah berakhir.
Semoga hubungan renggang dengan ayah akan segera merapat.