DuniaKerohanianSemasa

4 beranak maut angkara perasaan bencikan Islam

Pelanggaran yang telah dirancang

ONTARIO :  Rasa kebencian terhadap Islam menyebabkan seorang kanak-kanak menjadi yatim piatu.  Empat sekeluarga, tiga orang dewasa dan seorang remaja terbunuh apabila diserang menggunakan kenderaan di London, Ontario, Kanada. Anggota keluarga berkenaan dikatakan sedang mengambil angin dengan berjalan kaki di kawasan tempat tinggal mereka, bagaimanapun sebuah kenderaan dengan sengaja dipercayai melanggar mereka sehingga mati. Dalam siasatan awal pihak penyiasat menyifatkan kemalangan itu telah dirancang terlebih dahulu.

Kejadian pada Ahad jam 8:40 malam waktu tempatan itu, disedari apabila pasukan kecemasan menerima panggilan untuk bergegas ke lokasi di persimpangan jalan di antara Hyde Park dan South Carriage. Panggilan menjurus kepada kemalangan pejalan kaki.

Namun setiba di lokasi kejadian paramedik mendapati seorang wanita berusia 74 tahun telah meninggal dunia. Seorang lagi wanita berusia 44 tahun, seorang lelaki 46 tahun dan seorang remaja perempuan, 15 tahun dikejarkan ke hospital. Malangnya mereka menemui ajal kerana cedera parah.

Seorang kanak-kanak lelaki, 9 tahun,  cedera ringan adalah satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kemalangan ngeri itu.

“Kami percaya semua mangsa, menjadi sasaran kerana kepercayaan mereka kepada Islam.” – Ketua Polis Daerah  London, Ontario/ Steve Williams

Ketua Polis Daerah  London, Steve Williams berkata, setakat ini seorang pemuda berusia 20 tahun ditahan dikenali sebagai Nathaniel Veltman kerana dipercayai terbabit dengan kejadian itu.

Dia didakwa dengan empat tuduhan membunuh kelas pertama dan berniat membunuh. Gabenor bandar London menyifatkan tindakan itu sebagai pembunuhan beramai-ramai.  Kejadian itu juga menyebabkan semua penduduk di bandar itu membungkam marah dan kesedihan menyelubungi pagi Ahad mereka.

Tragedi menyayat hati itu turut  dikutuk Majlis Kebangsaan Muslim Kanada, NCCM, dan mendesak keadilan terhadap keluarga mangsa. Kejadian didakwa dicetuskan oleh rasa kebencian terhadap orang Islam di Kanada.

“Kami percaya bahawa kejadian ini akan mencetuskan kebimbangan dan ketakutan dalam komuniti kami, terutamanya komuniti Islam dan komuniti yang menjadi sasaran kebencian. Saya akan memastikan semua warga London, semua kita akan berjaga dan ramai lagi akan menyokong anda.”

Kejadian terbaru itu mengingatkan kembali kejadian serangan ke atas orang Islam di sebuah masjid di Quebec City. Enam jemaah meninggal dunia apabila ditembak, pelakunya menerima hukuman 25 tahun penjara.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button