Antara dua Aidilfitri di Malaysia dan di Palestin
Mencari semangat 1 Syawal

Selamat menyambut hari raya Aidilfitri.
Ini merupakan tahun kedua, Aidilfitri disambut dalam situasi pandemik covid 19. Berbanding tahun lepas, tahun ini masjid dibenarkan untuk solat sunat Aidilfitri dalam jumlah yang minimun. Antara 20 dan 50 orang jemaah, berbanding tahun lepas cuma lima orang. Namun untuk majoriti, masih ramai yang tidak berpeluang solat Aidilfitri di masjid.
Mungkin itulah hadiah untuk jemaah yang taat ke surau mengerjakan tarawih sepanjang bulan Ramadan. Untuk yang tidak mendapat ‘hadiah’ solat jemaah di masjid, kita semua masih tetap mendapat semangat dan falsafah 1 Syawal yang mulia, iaitu hari kemenangan.
Apa sebenarnya hari kemenangan? Hari kemenangan itu adalah hari kita kembali kepada fitrah, iaitu suci daripada dosa.
Sabda Nabi s.a.w: Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Aidilfitri juga disebut hari kebebasan, kerana pada hari ini umat Islam boleh kembali melakukan aktiviti yang tidak dibenarkan semasa bulan Ramadan. Seperti makan minum di siang hari, dan pelbagai lagi aktiviti yang membatalkan puasa.
Itu kebebasan daripada fizikal, dan kebebasan daripada rohani pula, sepatutnya pada 1 Syawal ini, kita sudah bebas daripada hawa nafsu, yang sudah sebulan kita latih untuk tunduk pada tuntutan iman.
Namun, adakah itu benar-benar yang berlaku? Sangat ironi, kerana hari kebebasan daripada hawa nafsu, menjadi hari pembebasan nafsu pula. Berapa ramai yang menyambut Aidilfitri dengan niat mahu menjadikannya meriah tetapi, meriah itu diterjemahkan menjadi berlebih-lebih dan membazir.
Membazir pada pakaian, membazir pada letupan mercun, membazir pada perhiasan rumah, membazir pada makanan dan minuman. Sedangkan kita sekarang berada pada zaman pandemik, ramai antara kita yang terjejas ekonominya.
Di sini kita dapat melihat bahawa Aidilfitri, walaupun ia adalah hari penuh kegembiraan, hari kemenangan, dan hari kebebasan, tetap ia perlu disambut secara bersyarat. Sepatutnya, sepanjang bulan Ramadan, rasa kehambaan kepada Allah bertambah, dan kita zahirkannya pada 1 Syawal. Namun, kehambaan kepada nafsu pula yang terpamer. Mungkin di sini kita boleh nilaikan kembali erti Aidilfitri, adakah ia sebenar-benarnya hari kemenangan ataupun hari kita kembali menjadi hamba kepada nafsu.
Aidilfitri di Palestin
Bagaimana pula Aidilfitri di sana? 1 Syawal tetap diteruskan tetapi bukan dengan letupan mercun dan percikan bunga api, melainkan dengan letupan bom dan percikan roket. Al Aqsa yang sepatutnya meriah dengan takbir Aidilfitri, kini disaingi pula dengan suara keras tentera rejim zionis dan bising muncung senjata mereka.
Walaupun begitu, falsafah dan semangat 1 Syawal semakin mudah mereka hayati. Mereka merayakan hari kemenangan dengan menang melawan ketakutan, hanya takut kepada Allah. Seluruh jiwa raga mereka serahkan demi mempertahankan Al Aqsa.
Mereka juga merayakan hari kebebasan, bebas daripada nafsu kerana yang ada di depan mereka adalah peluru zionis. Tidak ada hidangan dan pakaian baru yang berlebih-lebihan. Semuanya sederhana, sekadarnya demi meraikan Aidilfitri.
Jadi tanyakan kembali kepada diri kita, pada saat kita menyambut 1 Syawal yang sama, tetapi adakah makna kemenangan dan kembali kepada fitrah itu masih sama?
Apakah makna kemenangan kita itu sekiranya saudara seagama kita di Palestin masih terus ditindas rejim zionis? Apakah juga ertinya sambutan Aidilfitri sekiranya ketaatan kita kepada Allah semakin longgar selepas sebulan Ramadan kita mendidik ketaatan itu?
Satu Syawal, hari kita bergembira, juga adalah hari untuk kita kembali menilai, di mana duduknya iman selepas sebulan Ramadan.
Palestin kembali berdarah! Seruan untuk kita membantu saudara Gaza dan Palestin sudah tiba. Kita bantu dengan apa yang terdaya. Bantu dengan doa dan harta benda.
MAPIM Malaysia membuka peluang untuk semua bagi membantu rakyat Palestin. Selain doa, rakyat Palestin sangat memerlukan bantuan kewangan. MAPIM merayu supaya kita dapat bersama-sama membantu mereka.
Sumbangan boleh dibuat melalui:
https://www.billplz.com/tabungkilatgaza
ATAU
menerusi Akaun Maybank
Dana MAPIM :
5628 3463 6620
MAPIM Malaysia boleh dihubungi
menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm)
atau whatapps 012-800-2016