Tidak mahu menembak penunjuk perasaan, polis Myanmar melarikan diri
"Kami diperintahkan untuk menembak penunjuk perasaan."
Myanmar : Sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari 2021, sudah puluhan rakyat Myanmar dibunuh oleh pihak berkuasa Myanmar. Mereka yang terbunuh adalah penunjuk perasaan pro-demokrasi yang menentang rampasan kuasa tersebut.
Arahan pihak tentera atau dikenali sebagai Tatmadaw adalah sangat jelas, kebangkitan penunjuk perasaan perlu disekat walaupun terpaksa menggunakan peluru hidup. Baik pihak tentera ataupun polis, arahan itu perlu dituruti.
Namun tidak semua anggota polis yang mampu mengikuti arahan tersebut. Ada yang lebih rela lari daripada tugas. Antaranya adalah Naing.
“Saya diperintah untuk menembak penunjuk perasaan. Saya katakan kepada mereka yang saya tidak boleh.”
Bagi mengelak melaksanakan perintah itu, Naing melarikan diri ke Timur Laut India, Mizoram.
Naing adalah pegawai berpangkat rendah dari sebuah bandar di barat Myanmar, mengatakan protes di kawasannya mulai meningkat pada akhir Februari. Dia sudah dua kali diperintahkan untuk menenmbak para penunjuk perasaan, tetapi menolak.
Selepas sedar bahawa dia akan terus didesak sehingga terpaksa melepaskan tembakan, dia nekad untuk melarikan diri daripada tugas.
Bukan sahaja polis seperti Naing yang melarikan diri, malah para peniaga dan rakyat biasa juga mula membanjiri sempadan Myanmar dan India.
Berhubungan dengan itu, pihak berkuasa Myanmar meminta India mengemablikan pembelot atas dasar, ‘menjaga baik hubungan persahabatan’.
Manakala Ketua Menteri Mizoram Zoramthanga pula berfikir sebaliknya. Beliau bertegas bahawa para pendatang Myanmar itu harus dilindungi dan diberi tempat tinggal sementara sebelum kerajaan pusat di Delhi memutuskan apa yang perlu dilakukan.
– BBC