Covid19EkonomiKemanusiaanSemasa

Dahulu menjual komik di pasar ikan, kini bukunya bestseller di Amazon

Pengkarya yang gigih

Dia seorang yang bersemangat dengan apa yang dia lakukan. Pernah dia datang lewat ke sekolah, dan apabila ditanya mengapa lewat, jawapannya agak mengejutkan. Semuanya berpunca daripada minatnya kepada ahli gusti Undertaker.

Bukanlah dia berjaga malam menonton gusti lalu lewat bangun. Melainkan dia cuba berjalan seperti Undertaker yang perlahan-lahan, selangkah demi selangkah.

Kisah ini menjadikan tokoh kita kali ini sangat unik. Namanya Alif Firdaus bin Azis dan inilah kisahnya.

Alif Firdaus (bertopeng) bersama rakan-rakan, sangat meminati gusti
Peminat gusti tegar

Dia dibesarkan di pinggir kota Kuala Lumpur. Anak pertama daripada dua bersaudara. Ayahnya meninggal dunia ketika dia masih kecil dan dia besarkan oleh ibunya. Itu yang membuatkan dia sangat rapat dengan ibu dan adik perempuannya.

Itu jugalah yang menjadi asas kepada keputusannya selepas SPM. Dia memilih memasuki IKM dalam jurusan elektronik kerana IKM dekat dengan rumahnya, serta biasiswa disediakan. Semasa di IKM lah dia semakin serius dengan satu lagi bidang yang dia minati iaitu kartun komik.

Bersama rakan-rakan seperguruan
Membuat latihan praktikal di TV3

Dia mula mengumpul majalah Gila-Gila sejak sekolah rendah. Sejak itu dia bercita-cita menjadi kartunis. Dia tidak pernah jemu mengirimkan hasil seninya ke majalah Gila-Gila walaupun tidak tersiar. Apabila tersiar pula dia menjadi orang yang paling bahagia di dunia. Sempat dia berguru dengan kartunis lagenda Gila-Gila, Almarhum Rejabhad.

Kartun pertama tersiar di Majalah Gila-Gila pada tahun 1998 di halaman bakat baru, Mekar. Ketika itu umurnya, 13 tahun.

Antara karya yang tersiar di majalah Gila-Gila

Semasa di IKM, rancangan televisyen The Apprentice yang menampilkan Donald Trump sedang popular. Semangat dia ikut melonjak dan mula mengambil keputusan untuk mendapatkan wang lebih dengan hobinya, melukis kartun.

Komik Megi Itik

Dia mula menghasilkan komik yang bertajuk ‘Megi Itik’. Dia menjual dengan harga RM3 kepada rakan-rakannya dan sambutan menggalakkan. Dia mahu lebih lagi dan pada suatu hari dia bangun pagi, mandi dan mula berpakaian kemas siap dengan tali leher. Dia membayangkan dirinya adalah peserta The Apprentice.

Dengan gaya begitu dia menjual komiknya di tempat yang menjadi tumpuan ramai seperti stesen bas, dan paling luar biasa, di pasar ikan. Tidak ada yang laku tetapi dia tidak pernah berputus asa. Dia tetap meneruskan minatnya sehinggalah terhasilnya komik ‘Orang Kuat’.

Komik mainstream pertamanya

Selepas tamat belajar dia mula bekerja sebagai ‘freelancer’ membuat layout buku dan melukis sebelum bekerja tetap sebagai editor. Semasa bekerja sebagai editor dia mula cuba menulis dan terhasillah beberapa buah novel atas namanya sendiri.

Hasil karya Alif Firdaus Aziz
Di ruangan sastera Utusan
Di ruangan Berita Harian

Sepanjang itu juga Alif Firdaus bin Azis mula menceburi bidang silap mata dan dia membuatnya bersungguh-sungguh sehingga beberapa kali diundang untuk membuat persembahan. Dia juga mendalami bidang suntingan video dan menjadi Vlogger sehingga chanel Youtube nya sudah menghasilkan pendapatan.

Bersama Almarhum Tan Sri Jins Shamsuddin

Namun minatnya dalam bidang kartun tetap nombor satu. Bagi mengembangkan lagi bakatnya dia mengambil cuti panjang dan memasuki Akademi KRU untuk belajar tentang animasi. Selepas tamat pengajian dan bergelar pelajar terbaik, dia nekad untuk berhenti dan memulakan kerja sendiri.

Ruangan berkarya

Sedangkan waktu itu dia baru sahaja mendapat anak pertama. Nekad itu ternyata berbaloi dan kini anaknya sudah tiga. Sekarang dia adalah animator, animator 2D, pelukis, dan penulis. Sebagai freelancer dia menggunakan platform Fiverr bagi mendapatkan pelanggan. Hasil kerjanya yang berkualiti membuatkan Fiverr menjadikannya duta untuk mempromosikan platform itu.

Duta Fiverr

Pelanggannya semuanya dari luar negara, tetapi Fiverr bukanlah sumber pendapatan utamanya. Itu tetap sebagai freelance. Pendapatan utamanya datang daripada ‘client’ sedia ada. Mereka berhubung melalui email dan Facebook.

Antara hasil karya
Antara tempahan pelanggan

Ditanya apakah cabaran bekerja sendiri, katanya, dia sering dianggap tidak bekerja. Apabila balik ke kampung, akan ada mak cik yang prihatin berkata, “Dengarnya, kilang sana perlukan pekerja.”

Dia pun tahulah maksud kata-kata itu dan dia cuma tersenyum.

Selain itu, Alif juga mula mempelajari bagaimana menjual buku di Amazon selepas menghasilkan beberapa buah buku kanak-kanak untuk ‘client’ nya. Selepas bersedia, dia menulis, melukis dan menjual sendiri bukunya di Amazon dan ia memberi pulangan yang lumayan. Ia menjadi bestseller.

Antara buku bestseller di Amazon

Untuk pasaran Malaysia pula, Alif Firdaus Aziz mula menggunakan platform Shopee menjual buku kanak-kanak yang ditulisnya sendiri.

Buku jualan di Shoppe

Antara rahsia kejayaan Alif Firdaus bin Azis adalah dia sangat mendahulukan ibunya untuk setiap perkara. Misalnya, dengan keputusan melanjutkan pelajaran ke IKM dalam bidang elektronik walaupun dia tidak berminat ke arah itu. Dia memilih bidang itu kerana dia boleh berdekatan dengan ibunya.

Beliau pernah mendapat tawaran untuk bekerja sebagai animator dan pengurus produksi di Amerika Syarikat. Namun kerana memikirkan ibunya, tawaran lumayan itu terpaksa dia tolak. Untuknya, jarak terlalu jauh sedangkan usia pula semakin pendek.

Pernah juga semasa dia punya rezeki lebih dan membeli sebuah kereta baru. Tetapi selepas beberapa hari plastik kerusi kereta masih belum dibuka. Apabila ditanya kenapa, jawabnya,

“Aku nak emak aku buka. Biar dia rasa sendiri kereta baru ni. Cuma sekarang tak sempat balik lagi.”

Untuk perancangan masa hadapan, menurut Alif, “Lima tahun lagi aku dah tak buat kerja-kerja freelance. Aku nak tumpukan buat kerja yang aku minat.”

Begitulah kisah Alif Firdaus bin Azis, daripada penjual komik di pasar ikan menjadi bestseller di Amazon.

Berdakwah melalui kartun
Alif berharap ini menjadi saham akhiratnya

Related Articles

Back to top button