SemasaSyariah

Ibu Yati didakwa terpalit isu ajaran sesat Agama Melayu

Kes turut libatkan penghinaan kepada al-Quran & hadis, persenda, hina atau sebabkan Islam dipandang hina

SHAH ALAM 5 Mac : Wan Norhayati Wan Alias atau lebih dikenali Ibu Yati yang terpalit dengan isu ajaran sesat Agama Melayu didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam semalam.

Wan Norhayati didakwa selepas ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama tiga lagi individu termasuk dua lelaki di sebuah premis di Hulu Langat kira-kira pukul 11.20 malam semalam.

Pengarah JAIS , Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya telah melaksanakan tiga waran tangkap terhadap tiga orang yang disyaki dan satu waran geledah.

Menurutnya, susulan itu, JAIS telah menahan empat individu masing-masing dua lelaki dan wanita yang dibawa ke ibu pejabat untuk disiasat mengikut Seksyen 7, 9 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

“Kes telah dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah dan mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 kepada dua wanita dengan jaminan seorang penjamin dalam kalangan penjawat awam Gred 48.  Bagi tertuduh lelaki pula, seorang daripadanya diikat jamin dengan RM1,000 dengan penjamin dalam kalangan penjawat awam Gred 41 manakala seorang lagi dilepaskan dengan bon jamin penguat kuasa.”

“Tiga daripada tertuduh perlu diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak dua minggu sekali,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Datuk Mohd. Shahzihan berkata, dengan penangkapan keempat-empat individu itu dapat menyelesaikan kes melibatkan perbuatan beberapa individu di Selangor yang disyaki menyanggah ketetapan hukum syarak atau fatwa.

“Selain itu, kes tersebut turut melibatkan penghinaan kepada al-Quran dan hadis, serta mempersenda, menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.

“Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 28 Julai hadapan di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam,” ujarnya.

 

 

 

 

Related Articles

Back to top button