Apakah salah ibumu yang kudung itu, ditinggal sendirian di tepi jalan?
Berkerusi roda, bersama lampin pakai buang & beg pakaian
SHAH ALAM – 21 Feb :
Duhai apakah gerangan budi balasan
Bagi insan melahirkan membesarkan
Bercucuran airmata bila mengenangkan
Betapakah besar budi ibunda berikan
Apalah malang nasibmu duhai ibu, disisih keluarga dengan hanya ditinggalkan bersendirian di tepi jalan berkerusi roda.
Simpati yang bersisa di hati orang awam, terus menghubungi Lembaga Zakat Selangor, LZS, menjelaskan gambaran seorang wanita dengan kudung kaki kiri, berusia 60 tahun, ditinggalkan beserta lampin pakai buang dan beg pakaian di Jalan Kebun pada malam Sabtu (21 Feb)
Dalam satu kenyataan LZS memaklumkan menerima panggilan orang awam, lantas menggerakkkan skuad Saidina Umar, SSU, serta Ketua Operasi Agihan Daerah Kuala Langat bertindak segera turun padang pada jam 8.30 malam tadi (Sabtu) bagi menyantuni wanita yang ditinggalkan seorang diri itu.
“Hasil siasatan mendapati beliau merupakan asnaf fakir dan masih mempunyai keluarga,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
LZS memaklumkan, usaha menghubungi keluarga warga emas tersebut berjaya dilakukan namun tidak mendapat kerjasama yang baik apabila tiada seorang waris pun sudi menjemputnya kembali ke rumah dengan pelbagai alasan.
Menceritakan kejadian itu wanita berkenaan menjelaskan, pada mulanya, anaknya dikatakan bersetuju hadir ke balai polis, namun sekitar jam 3:00 pagi pada Ahad, individu terbabit dikatakan membuat keputusan tidak boleh menjaga ibunya lagi menyebabkan pihak polis terpaksa hubungi pusat jagaan warga emas yang kemudian datang menaiki ambulans untuk membawanya ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan dan saringan Covid-19.
“Hati mana yang tidak tersentuh apabila ibu ini masih mendoakan yang terbaik untuk anaknya. Katanya ‘dah lama acik tak jumpa anak, anak acik baik orangnya’. Kami cuba menyembunyikan rasa sebak kami kepada beliau. Mungkin ada kisah keluarga yang hanya mereka mengetahuinya.”
Hiba mendengar segala alasan LZS terpaksa menyerahkan warga emas berkenaan untuk tindakan lanjut pihak polis di bawah bidang kuasa pihak berwajib bagi menghubungi anak warga emas terbabit dan menjalankan sesi rundingan mengikut kepakaran pihak berkuasa berkenaan.
“Terima kasih kepada orang awam yang menyampaikan maklumat kepada kami (LZS) dan Pusat Jagaan Warga Emas Baitul Mawaddah, Pusat Jagaan warga Emas SRA serta pihak Balai Polis Sri Muda yang bekerjasama dari malam hingga ke awal pagi dalam menguruskan kes ini.
“Marilah sama-sama kita doakan semoga usaha ini mendapat keberkatan dari Allah SWT dan ibu ini dapat dijaga dengan penuh kasih sayang,” katanya.