Covid19Dunia

Lagi 20,000 vaksin dibawa masuk ke Gaza

Dihantar dari UAE tapi dilihat motif politik pencabar Abas

RAFAH – 21 Feb :  Kira-kira 20,000 dos vaksin COVID-19 buatan Russia, Sputnik V tiba di Gaza dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Arab News, vaksin terbabit dihantar oleh Mohammed Dahlan, pesaing Presiden Palestin, Mahmud Abbas, kira-kira tiga bulan sebelum pilihan raya dijadualkan berlangsung.

Vaksin buatan Russia itu juga memasuki Gaza melalui sempadan Rafah dari Mesir dan tidak menghadapi sekatan Israel yang mengepung Gaza sejak tahun 2007.

Minggu lalu, Dahlan yang juga bekas pemimpin tertinggi parti Fatah mengumumkan penghantaran vaksin terbabit yang disifatkannya sebagai pemberian dari Abu Dhabi.

Dahlan yang kini penasihat keselamatan kepada pemimpin UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahya mendakwa penghantaran vaksin itu adalah atas usahanya, dan pemberian vaksin berkenaan dilihat sebagai satu langkah politik  beliau menjelang pilihan raya legislatif dan presiden pada Mei serta Julai ini.

Kenyataan daripada parti pembangkang yang dipimpin Dahlan berkata, vaksin terbabit untuk petugas kesihatan di Gaza yang didakwa masih belum menerima imunisasi berkenaan.

Kotak vaksin COVID-19 buatan Russia, Sputnik V di Semenanjung Gaza – Foto AFP

Kumpulan pertama dos vaksin tiba di Gaza minggu lalu, sebahagian terdiri daripada bekalan Sputnik V, yang dibawa masuk oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) di bawah kawalan Abbas.

Pihak berkuasa Palestin turut memaklumkan akan berkongsi bekalan vaksin terabbit dengan Hamas di Gaza.

Penghantaran vaksin itu dilakukan oleh PA menerusi Tebing Barat yang dikawal Israel. – Agensi

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button