NABLUS: Pendatang Israel sekali lagi menimbulkan kemarahan awam apabila bertindak memotong lebih 600 pokok zaitun dan badam milik rakyat Palestin di kampung Deir Sharaf, Tebing Barat utara, lapor seorang pegawai tempatan.
Ghassan Daghlas, seorang pegawai yang memantau aktiviti penempatan Israel di utara Tebing Barat, memberitahu agensi berita WAFA bahawa ketika penduduk Deir Sharaf menuju ke kebun mereka yang terletak berhampiran penempatan haram Shavi Shomron, mereka mendapati rejim Zionis telah menebang pokok mereka.
Daghlas berkata tanah yang dianggarkan berkeluasan hampir 70 dunum (17.29 ekar) itu adalah milik keluarga Palestin.
Kekejaman pendatang Israel terhadap rakyat Palestin semakin berleluasa.
Mereka semakin berani menunjukkan ‘belang’ dengan memusnahkan harta kediaman juga tanam-tanaman milik rakyat Palestin.
Semalam, tiga isi rumah Palestin yang terdiri daripada 20 keluarga kehilangan tempat tinggal selepas mereka dipaksa oleh pemerintah Zionis untuk merobohkan rumah mereka sendiri susulan dakwaan membina bangunan tanpa permit.