DomestikSemasa

40 rumah dijilat api, suami isteri rentung

TAWAU : Kebakaran yang berlaku di Kampung Sungai Buaya, Jalan Tawau Lama, dekat sini, tengah malam tadi telah menyebabkan lebih 40 rumah rentung dijilat api.

Mayat sepasang suami isteri, Saiful Rosli, 32, dan Jumaidah M Jida, 36, ditemui pasukan bomba antara jam 4.45 hingga 5.50 pagi tadi selepas kebakaran berjaya dipadamkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stephen Jr, berkata sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 12.32 tengah malam tadi, mereka mengerahkan 25 anggota bersama dua jentera ke lokasi kejadian.

Menurutnya, tujuh lagi mangsa termasuk tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berumur antara enam hingga 12 tahun dilaporkan melecur.

“Seorang mangsa terbabit, Abdul Mutalib Suma, 45, melecur 86 peratus, seorang lelaki dan seorang remaja perempuan masing-masing berumur 26 dan 18 tahun melecur hingga 17 peratus. Semua mangsa yang cedera sudah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Julius berkata, penggunaan sumber air dari tangki jentera dan sumber air terbuka (parit) diperlukan dalam operasi memadamkan api itu.

“Pada jam 2.07 pagi, kebakaran sudah terkawal sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.20 pagi tadi,” katanya sambil memaklumkan punca kejadian dan jumlah kerugian sedang dalam siasatan.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button