Covid19Semasa

Sultan Selangor titah segera vaksin pekerja kilang

Elak penularan wabak Covid-19 khusus di Selangor

SHAH ALAM  : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, pemberian vaksin kepada pekerja kilang perlu dipercepatkan dalam tempoh terdekat memandangkan terdapat banyak kilang dan sektor perindustrian di Selangor.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi, Selangor Royal Office, baginda turut menggesa pihak yang bertanggungjawab ke atas pengagihan vaksin ke seluruh negara supaya menambah jumlah pemberian vaksin di Selangor agar nisbah peratusannya selari dengan jumlah populasi dan jumlah kadar jangkitan wabak di negeri itu.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan mengenai penularan wabak berbahaya Covid-19 khususnya dalam kalangan umat Islam di Negeri Selangor ketika ini.
Dalam pada masa sama, baginda menasihati seluruh umat Islam agar menyambut perayaan Aidil Adha akan datang secara sederhana di kediaman masing-masing dan tidak pulang ke kampung atau keluar dari daerah masing-masing.
“Tambahan, kes ‘sporadik’ Covid-19 kini semakin tinggi dalam komuniti.
“Justeru, baginda tidak mahu jangkitan Covid-19 terus merebak sebagaimana yang berlaku semasa Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
“Beta juga meminta sekalian rakyat agar berkorban kerana keadaan wabak Covid-19 masih meruncing dengan jumlah kes baharu di Selangor yang melebihi 4,000 kes sehari dan jumlah kematian keseluruhan yang kini mencecah 2,063 orang,” titah baginda.
Kenyataan itu turut menyebut Sultan Selangor hari ini berkenan menerima menghadap Timbalan Mufti Selangor yang baharu, Profesor Madya Dr Miszairi Sitiris di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Dr Miszairi Sitiris melaporkan diri di Jabatan Mufti Negeri Selangor untuk menjalankan tugas sebagai Timbalan Mufti Selangor pada 1 Julai 2021.
Oleh : Nurshazlin Shahrom (Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media)

Related Articles

Back to top button