Covid19Dunia

Covid-19: Jumlah kematian di India cecah 400,000

NEW DELHI: Kes kematian akibat Covid-19 di India telah mencecah angka 400,000 dengan separuh daripada jumlah itu berlaku pada ombak kedua dalam tempoh beberapa bulan lalu.

India merekodkan sebanyak 30.45 juta kes sejak penularan pandemik itu pada tahun lalu dan ia mempunyai bilangan kes Covid-19 kedua tertinggi di belakang Amerika Syarikat (AS) dengan jumlah 33 juta kes.

AS merekodkan sekurang-kurangnya 640,000 kematian manakala Brazil sebanyak 518,000 kematian.

India yang juga negara dengan populasi kedua terbesar di dunia, merekodkan 853 kematian dalam tempoh 24 jam lalu, demikian menurut data Kementerian Kesihatan negara itu.

Tambahan angka itu menjadikan jumlah kematian akibat kes Covid-19 di India melepas paras 400,000 dengan 100,000 kes adalah dalam tempoh 39 hari yang lalu.

Namun begitu, pakar kesihatan percaya jumlah kematian di India mungkin lebih daripada angka yang di laporkan, malah mungkin mencecah sejuta atau lebih tinggi.

Banyak mayat dilihat hanyut di sungai Ganges di utara India pada Mei, apabila jumlah kematian terus meningkat terutama ketika berlaku ombak jangkitan kedua.

“Jumlah pengiraan kematian yang tidak tepat adalah sesuatu yang pernah berlaku, disebabkan kelemahan dalam sistem.

“Disebabkan itu, kita tidak akan tahu jumlah sebenar kematian pada jangkitan ombak kedua,” kata profesor di kolej Sains Sosial Rajagiri, Rijo M John.

Oleh Azzman Jamal

Related Articles

Back to top button