Covid19DuniaKemanusiaanKerohanianSemasaSyria

Syria, antara senyum yang pudar dan tangisan yang dingin (Bahagian 1)

MAPIM Malaysia tiada pilihan

Syria : Ini adalah antara pintu sempadan yang paling selamat. Walaupun ada kata ‘selamat’, itu hanya terpakai pada mata dan telinga. Suasana dingin, dan bunyi latar sempadan yang sepi senada dengan keadaan musim sejuk yang tiba.  Tenang. Tidak ada dentuman peluru, hanya laungan azan yang berkumandang apabila masuk waktu. Semuanya membuat kita yakin, harapan masih ada tetapi hati berkata, tetap harus berjaga-jaga.

“Sebelum masuk Syria, saya mahu kita semua betulkan kembali niat kita. Kita masuk kerana Allah. Kita mahu membantu kerana Allah. Kita masuk mungkin hidup, minta doa kita selamat keluar.” (Dr) Sani Araby Al-Kahery

Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al Kahery

Itu pesan (Dr) Sani Al Araby Ketua Misi RescueSyria MAPIM Malaysia yang ke-15 sebelum kami melangkah melepasi sempadan Syria. Sudah 15 kali beliau bersama misi ini dan pasti pesannya itu bukan sekadar pesan biasa. Inilah Syria, wilayah Syam, wilayah yang ada disebutkan dalam beberapa hadis sahih yang mengetarkan hati orang yang mahu berfikir.

Maulana Helmi mengetuai bacaan doa.

Ini misi terdesak. Pertama, wabak covid membuat pelarian Syria mula terasing daripada bantuan besar dunia. MAPIM terpaksa segera turun ke sana kerana ada bantuan rakyat Malaysia yang sudah beberapa bulan tersangkut di gudang akibat pandemik, sedangkan sekarang musim sejuk dan bantuan perlu digerakkan walau apapun yang terjadi. Malah sebelum pandemik ada beberapa projek sudah berjalan dan kini adalah waktu untuk memastikan projek itu sudah siap sepenuhnya. Jadi dalam waktu yang terbatas, MAPIM Malaysia perlu kerap masuk ke Syria.

Kali ini kami seramai sembilan orang. Maulana Helmi sebagai panel syariah MAPIM, Heliza Helmi aktivis MAPIM, Kapten Nik, Zaidi, Aimi, Adli, Zulfadli, Bahruddin, dan diketuai oleh sendiri (Dr) Sani Al Araby. Kami juga ditemani beberapa orang pegawai Agensi Wakaf Turki.

Antara makanan yang akan diedarkan untuk pelarian. Ini semua adalah sumbangan daripada rakyat Malaysia.

Kami berkumpul dahulu di kilang roti MAPIM Malaysia, di sempadan Syria. Itulah kilang yang membekalkan 60 ribu keping roti sehari untuk pelarian. Selain itu ia menjadi pusat memasak bekalan bantuan makanan untuk kem pelarian di Syria. Itu semua adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia yang dermawan.

Menjenguk ke luar, awan masih kelabu sejak dari semalam. Malamnya hujan, dan berhenti apabila pagi. Rasa dingin teramat itu membantu melupakan perasaan sangka bukan-bukan kami. Tetapi ia langsung tidak membayangkan minit-minit yang akan kami lalui sepanjang hari. Menurut Zulfadli, Media MAPIM, empat tahun lepas, di kawasan sempadan ini berjujuk-jujuk kereta kebal menjaga keselamatan. Semuanya dalam keadaan siap siaga.

Kini bayang kereta kebal sudah tidak kelihatan. Yang ada hanya barisan lori bantuan yang sudah semakin pendek, berbanding sebelum covid yang sejauh mata memandang di jalan sempit dan rosak di sebelah A’zaz, Syria.

Setiap kali ke masuk Syria, tujuan MAPIM Malaysia sangat jelas. Untuk membantu pelarian secara jangka masa panjang. Seperti hari ini, kami akan ke sebuah kem pelarian di sempadan Syria. (Dr) Sani mahu memantau agihan makanan yang sudah dimasak di Kilang Roti MAPIM Malaysia, dan seterusnya mengkaji rancangan jangka masa panjang yang seterusnya untuk pelarian di sini. Keduanya, (Dr) Sani mahu memeriksa persiapan sekolah wakaf ke-39 MAPIM Malaysia di A’zaz.

Kami masuk dengan dua buah van, Agensi Wakaf kerajaan Turki. Antara gergasi daripada ratusan NGO dan kerajaan yang membantu Syria. Mereka juga adalah rakan kerjasama rasmi MAPIM Malaysia. Tanpa kerjasama baik mereka dan kerajaan Turki, kami tidak mungkin dapat masuk ke Syria hampir setiap hari.

Namun ia tetap tidak sesederhana itu. Ada tiga pintu pemeriksaan yang perlu kami lalui.

Pada pintu pertama kami sudah tersekat. Mahmud, wakil agensi wakaf membuka pintu van dengan wajah yang cemas,. Katanya seorang daripada kami mempunyai passport yang angka depannya berbeza. Yang lain semua bermula dengan huruf A, yang satu ini K.  Untuk rakyat Malaysia pasti tahu kenapa begitu, tetapi untuk pengawal sempadan Turki ini adalah pengalaman baru. Mahmud kembali ke bangunan imigresen dan berunding. Selepas lebih kurang 20 minit yang penuh debaran, Mahmud membuka pintu van dengan senyuman, kami akhirnya dibenarkan meneruskan perjalanan.

Debaran seterusnya hanya beberapa meter di hadapan. Di sana, ada sebuah pagar yang ringkas dan kukuh binaannya, tetapi pada tapaknya terlihat cerucuk condong warna kuning yang sedia membocorkan tayar kereta yang melawan arus. Itulah pintu masuk ke Syria.

Kami dapat merasai bagaimana berdebarnya ketika tayar van melalui cerucuk condong terakhir tadi. Bunyi ‘klang’ yang halus kedengaran seperti memberi bayangkan betapa beratnya hidup di sini.

Sebaik melepasi pagar itu, rasmilah kami memasuki bumi berkat, bumi Syria. Selepas beberapa ratus meter keadaan di sempadan Turki yang tadinya sepi berubah menjadi riuh. Hanya rasa dingin yang tetap sama. Wajah-wajah lelaki berjambang dengan tatapan keras tetapi seperti ada rahsia pada mata mereka bermunculan melintas jalan raya.

Manusia bukan sahaja sibuk memikirkan urusan diri sendiri di kiri kanan jalan, malah yang memandu juga begitu. Undang-undang jalan raya masih ada, tetapi untuk ukuran Malaysia, kami yakin ramai yang akan cuba mengelak untuk memandu di sini. Laju, sesak, dan semuanya atas ihsan masing-masing. Reflek dan pertimbangan perlu sangat tinggi. Walaupun kereta melaju dari tepi, tetap banyak kereta yang melintas seperti semua itu sempat, dan mereka memang sempat. Cuma penumpang yang seperti mahu tercabut jantung.

Kami melepasi kawasan sesak dan memasuki jalan ke arah kem pelarian yang mahu dituju. Suasana sekali lagi berubah. Kami perlu melalui ladang zaitun yang batangnya terlihat segar, tetapi musim dingin ia perlu dicantas untuk mengelakkannya rosak. Jalan rayanya tanah berpasir dan bergelombang tetapi ia masih boleh diterima penumpang belakang.

Di kiri kanan jalan terlihat khemah yang diperbuat daripada PVC plastik. Sekiranya dilihat daripada luar, pasti suasana di dalam sangat sejuk. Mungkin itu cuma luaran untuk menangkis lembab. Pasti di dalam mereka sudah sediakan penebat suhu yang bagus. Begitulah kira-kira congak kami kerana tidak berpeluang untuk melihat ke dalam.

Sepanjang itu kami dapat melihat anak-anak terus bermain dalam cuaca dingin. Pada saat kami semua kesejukan, mereka terlihat tidak ada banyak pilihan. Sama ada memilih tinggal di khemah yang kecil, ataupun keluar melawan sejuk dengan berlari ke sana sini, kerana bencana utama datang pada waktu malam, dinginnya lebih mengigit dan menembus masuk ke tulang. Sedangkan ini baru awal musim sejuk.

Selepas hampir setengah jam perjalanan yang bergelora, kami akhirnya sampai ke kem pelarian yang satu ini. Satu daripada puluhan buah kem di sempadan Syria. Di tengah-tengah kem ada sebuah ladang zaitun luas yang sudah agak gondol. Di bawah pohon-pohon zaitun ada ratusan manusia sedang membawa pelbagai jenis bekas. Ada bekas baldi, ada bekas cat yang sudah dicuci bersih, bekas besi, dan apa sahaja yang masuk dalam kategori ‘bekas’, yang boleh untuk menadah bantuan makanan.

Angin seperti mahu mengurung lagi perasaan sangka bukan-bukan kami. Ia semakin kerap bertiup dan menambah gigil. Untuk kali ini, itu tidak membantu. Kami tadi yang belum pasti dengan sangkaan apa yang akan kami temui kini mula pasti. Kami akan menemui perkara yang akan membuatkan kami menangis. Ia ada di situ, menunggu dengan sabar dan tenang di bawah pohon-pohon zaitun yang sudah tua.

Bersambung.

Foto : Media MAPIM – Zulfadli / Zaidi / Aimie Ramli

TEAM RESCUESYRIA MAPIM SUDAH BERADA DI SYRIA MENGURUS INFAQ ANDA UNTUK
KAMI SAMPAIKAN SENDIRI KEPADA SAUDARA SYRIA DISINI!

MAPIM Malaysia menjemput sahabat peduli Ummah untuk sama menjayakan Misi Bantuan Khas ini kerana kutipan Dana masih lagi berkurangan untuk sasaran RM6,000,000. Justeru berikut bantuan terdesak yg diperlukan:
– RM250 bantuan selimut
– RM600 saham wakaf rumah pelarian
– RM500 bantuan ubat-ubatan
– RM250 bantuan food pack 1 bulan
– RM250 bantuan alat pemanas
– RM500 wakaf saham bina sekolah #40
– RM500 bantuan kitchen/kilang roti MAPIM
____
2 CARA MENYUMBANG
KE DANA BANTUAN KECEMASAN
MISI RESCUE SYRIA (MAPIM)
_____
1. Saudara yg prihatin boleh terus menyumbang melalui bank pilihan secara online (FPX):

INFAQ SEKARANG ▶️ www.rayuansyria.com

ATAU

2. Salurkan Sumbangan
Menerusi Maybank
SYRIA EMERGENCY APPEAL (DANA MAPIM)
Akaun No : 562834636987

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button