Covid19Semasa

RUU Langkah-Langkah Sementara Pembiayaan Kerajaan (Penyakit COVID-19) diluluskan

Bayaran elaun khas barisan hadapan KKM disediakan secukupnya

Persidangan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 bertujuan mengadakan peruntukan bagi langkah-langkah sementara berhubung pembiayaan kerajaan untuk mengurangkan kesan COVID-19.

Rang undang-undang yang dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz itu diluluskan dengan suara terbanyak selepas bacaan kali ketiga pada Isnin (24 Ogos)

Terdahulu, ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian membahaskan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa selepas diluluskan di peringkat dasar.

Tengku Datuk Zafrul ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu menegaskan bayaran elaun khas untuk barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) telah disediakan secukupnya.

“Kerajaan sedia maklum telah diterima aduan kelewatan pembayaran elaun. Kementerian Kewangan telah berbincang dengan KKM untuk memudahcarakan proses menuntut elaun sebagai contoh membenarkan kelulusan tuntutan diturunkan kuasa kepada ketua jabatan.

“Kementerian Kewangan akan terus membantu perkara ini dan akan terus memastikan tunggakan pembayaran elaun dikurangkan,” katanya bagi menjawab pertanyaan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Kuching) berkenaan aduan kelewatan pembayaran elaun itu.

Sejumlah RM45 bilion diperuntukkan di bawah pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi dengan program subsidi upah, insentif pengekalan pekerjaan dan pengambilan pekerja serta bantuan latihan menerima dana paling tinggi berjumlah RM16.8 bilion.

Ia juga melibatkan RM11.2 bilion bagi Bantuan Prihatin Nasional; projek berskala kecil (RM4 bilion); masing-masing RM2 bilion untuk program kemahiran dan peningkatan kemahiran serta Pembiayaan PKS PENJANA selain Geran PRIHATIN PKS (RM1.9 bilion).

Selain itu, sejumlah RM500 juta bagi diskaun bil elektrik; bantuan khas pelajar institusi pendidikan tinggi (RM300 juta) dan subsidi pengangkutan awam MY30 (RM200 juta). -BERNAMA

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button