KesihatanPendidikan

Penyelidik Malaysia menangi Hadiah Sains ASEAN-Amerika Syarikat 2020

Penyelidikan vaksin lawan virus HFMD

Dalam kenyataan disiarkan di laman web rasmi ASEAN pada Isnin, Chan menerima wang tunai AS$20,000 (RM82,900).

Manakala Penolong Profesor di Pusat Pengajian Kejururawatan Alice Lee, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Shefaly Shorey, pula menerima hadiah khas membawa pulang wang tunai AS$5,000 (RM20,700).

Dr Yoke Fun menumpukan penyelidikannya untuk membangunkan vaksin melawan virus menyebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta jangkitan otak pada kanak-kanak.

Beliau juga bekerjasama dengan pakar tempatan untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyakit itu dan pencegahan dalam kalangan masyarakat dan selainnya.

Dr Yoke Fun berkata, penghargaan itu tepat pada masanya sebagai menghargai peranan aktif wanita dalam penjagaan kesihatan.

“Ini pengiktirafan untuk kerja dilakukan dan memberi peluang kepada pasukan saya meningkatkan lagi usaha. Ia juga memperkasakan lagi semua saintis wanita ASEAN.

“Kesungguhan, ketekunan dan berfikiran positif membantu kita mencapai kemajuan pada tahap lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Dr Shorey, yang menjalankan penyelidikan bagi mencegah kemurungan terhadap ibu dan wanita hamil, mempengaruhi keputusan pembuat dasar berhubung kesihatan ibu dan anak di rantau ini.

Hasil penyelidikannya yang membangunkan aplikasi pendidikan percuma dikenali ‘Home but Not Alone’ untuk menyokong mereka yang baru bergelar ibu bapa menguruskan tekanan dan mencegah kemurungan pascakelahiran.

“Saya bersyukur diberikan kesempatan mewakili negara dan berkongsi penyelidikan saya untuk mempromosikan kesihatan wanita di platform antarabangsa ini.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Jawatankuasa Hadiah ASEAN-AS dan pihak penganjur atas sokongan padu mereka untuk menjayakan pertandingan tahun ini walaupun ketika wabak melanda,” katanya.

Dr Yoke Fun dan Dr Shorey mengemukakan hasil penyelidikan mereka kepada panel hakim melalui pertandingan ‘head-to-head pitch’ yang diadakan dalam secara maya pada 13 Ogos.

Kedua-dua mereka dipilih daripada 10 finalis, masing-masing mewakili saintis wanita yang mengkaji bidang penjagaan kesihatan, iaitu tema tahun ini.

Hadiah Sains ASEAN-AS dianjurkan ASEAN sebagai mengiktiraf saintis wanita, pertandingan seterusnya akan diadakan pada 2021 bertemakan ‘Clear Air and Clean Water’. – BERNAMA

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button