Covid19EkonomiKemanusiaanKesihatanSemasa

Sharifah Norita usahawan berhati cekal

Siri Inspirasi Ummah

Namanya Sharifah Norita. Penampilannya masih nampak jauh lebih segar berbanding usia, tetapi pengalamannya dalamnya dunia perniagaan sudah masak ranum, seolahnya tidak sepadan pula dengan wajah yang sentiasa muda.

Puan Sharifah Norita

Dia lahir daripada keluarga peniaga. Jadi sejak kecil dia sudah terbiasa dengan dunia perniagaan. Pada usianya 13 tahun dia sudah keliling kampung dengan basikal roda tiga menjual air batu campur dan rojak.

Pada usia itu juga dia sudah punyai kemahiran menjual yang tinggi. Dia mendaftar sebagai ejen Avon tetapi terpaksa menggunakan nama ibu kerana belum cukup umur. Sebagai ejen Avon, dia sekali lagi keliling kampung menjual produk Avon.

Apabila ayah tiada, tanggungjawab menyara keluarga jatuh kepada ibunya. Melihat ibu bekerja keras siang dan malam demi keluarga, Puan Sharifah memegang azam untuk membuat yang terbaik. Ibu menjadi idola.

Untuk Puan Sharifah Norita, dia sangat percaya bahawa belakang parang apabila diasah akan menjadi tajam. Setiap sesuatu perlu bersungguh-sungguh dan kerja keras. Bagaimana untuk mengukur kerja keras itu? Puan Sharifah Norita akan berusaha untuk menjadikan kerjanya sempurna walaupun sedar bahawa yang sempurna tetap milik Tuhan. Cuma apabila menyasarkan yang tinggi, sekiranya tidak tercapai tetap akan jatuh dalam bahagian yang terbaik. Bak kata pujangga, ‘apabila sasaran kita bintang, jatuh pun akan tetap ke bulan’.

Puan Sharifah Norita bersama dengan pasukan

Dalam perniagaan juga, Puan Sharifah Norita sangat memegang dengan kata-kata, dia tidak hidup dengan pujian dan tidak mati dengan kejian. Mudahnya, kata-kata orang tidak akan mengubah hidup kita kerana yang mengubah hidup adalah usaha kita sendiri.

Atas prinsip itu Puan Sharifah Norita sentiasa memperingatkan dirinya bahawa dia membuat sesuatu bukan untuk membanding-bandingkan dirinya dengan orang lain, melainkan untuk membandingkan dirinya semalam dengan hari ini. Adakah hari ini dia lebih baik daripada semalam? Sia-sia sekiranya pertanyaan itu menjadi, adakah saya lebih baik daripada si polan? Kerana kadangkala, kita boleh pergi jauh tetapi tanpa sedar terikat dengan diri orang lain sehingga tahap kita hanya setakat itu sahaja. Sangat sia-sia dan rugi.

Apabila ditanya apa yang dia sangat suka tentang menjadi ahli perniagaan dan usahawan? Puan Sharifah dengan yakin menjawab, “Saya suka apa yang saya buat kerana ia mendidik saya bersabar, berusaha. Mengajar saya berdikari, menjadi kuat, dan yang penting otak saya sentiasa aktif.”

Bagusnya apa yang Puan Sharifah suka itu jugalah yang menjadi antara syarat asas untuk masuk ke dalam bidang penuh cabaran ini. Berdiri atas kaki sendiri kerana kita sendiri adalah ketua, kita sendiri adalah pekerja. Mahu harapkan siapa lagi?

Promosi Ilham Muslimah

Bagi memperlengkapkan diri, Puan Sharifah sentiasa membaca dan itu menjadikan membaca sebagai hobinya yang utama. Selain pengalaman, buku adalah perkara terbaik untuk dirujuk apabila mahu pergi lebih jauh.

Ini menjadikan Puan Sharifah termasuk dalam golongan ‘street smart’. Walaupun tidak ke universiti tetapi pengalaman dan hobi membacanya memberi gabungan yang tajam dalam visi keusahawanan. Ini dibuktikan dengan jenama Ilham Muslimah yang dimulakan pada tahun 90-an dan Nutri M Shampoo pula pada tahun 2010. Dua jenama yang masih kekal dan kukuh sampai sekarang selain daripada bidang perniagaan yang lain.

Untuk sampai ke tahap itu tidak sedikit pengorbanan yang perlu Puan Sharifah lalui. Bayangkan sahaja bagaimana dia bermula hanya dengan modal RM300? Kemudiannya, yang paling orang tidak ambil peduli adalah pengorbanan daripada segi masa. Puan Sharifah sentiasa berfikir bagaimana mahu memajukan perniagaannya sehingga mahu tidur pun dia teringatkan perniagaannya. Katanya, seperti orang bercinta, asyik teringat.

Namun itu bukan bermakna Puan Sharifah seorang yang mengikut emosi. Dia sangat melarang dirinya daripada membuat apa-apa keputusan apabila berada dalam keadaan marah. Dikhuatiri keputusan itu lebih banyak pengaruh buruknya kerana pada waktu itu, rasional sudah hilang. Tidak juga bermaksud dia diam sahaja apabila berhadapan dengan situasi yang jelas melampau. Menurut Puan Sharifah, dia juga manusia dan dia juga pandai melepaskan marah semasa membuat keputusan. Mudahnya, jangan ‘take for granted’ dengan kesabaran Puan Sharifah Norita.

Perniagaan yang Puan Sharifah bina sudah cukup panjang untuk sampai ke tahap ini, jadi apabila ditanya tentang perancangan jangka masa panjang, dia berharap yang sederhana iaitu para pekerjanya dapat meneruskan legasi syarikat yang dia tubuhkan. Walapun kedengaran sederhana ia sebenarnya tidak mudah. Itulah yang sedang diusahakan sekarang.

Nasihat Puan Sharifah Norita untuk yang mahu menceburi bidang keusahawanan, pertamanya untuk orang Islam pegang ayat Quran ini, “Wa ufawwidu amrii ilallah. Innallaha basiiruum bil ‘ibaad” Surah Ghaafir 40:44

Maksudnya, “… Dan aku serahkan segala urusanku ke hadirat Allah. Sungguh Allah Maha melihat akan keadaan hamba-hambaNya.”

Usaha, doa dan tawakal. Itulah senjata orang Islam. Manisnya apabila tawakal, apabila untung akan jadi pahala, apabila rugi pun tetap jadi pahala.

Kemudiannya, fikir semasak-masaknya untuk menjadikan kawan baik sebagai rakan kongsi. Sekiranya menjadi alhamdulillah, namun sekiranya tidak, kesan buruknya lebih besar. Untuk Puan Sharifah dia sudah serik, dan pasti Puan Sharifah tidak ‘omong kosong’ ataupun sekadar bercakap melalui teori.

Selain itu, pegang perkara ini insya-Allah, hati akan kuat dan urusan perniagaan akan terasa lancar walaupun mungkin orang luar melihat perniagaan kita sedang dilambung ombak.

  • Belajar mengurus diri untuk jadi sabar, cekal, kuat semangat.

  • Jangan mudah putus asa ataupun cepat mengalah.

  • Jangan mengeluh walau rezeki sedikit, bersyukur, Allah akan tambah. Insya-Allah.

  • Jangan pernah ada rasa malu dalam urusan mencari rezeki selagi kita tidak melakukan perkara yang memalukan diri dan keluarga

  • Jangan menipu dalam apa jua hal urusan perniagaan.

  • Jangan letakkan apa-apa jua sebagai halangan, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan

  • Mula secara kecill-kecilan, Jangan terburu-buru. Bak kata pepatah, ‘Duduk dulu sebelum berlunjur’.

Itu yang selama ini Puan Sharifah lakukan dalam semua urusan perniagaannya. Dibaca memang mudah, untuk melaksanakannya perlu hati yang wajah seperti Puan Sharifah Norita.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button