DuniaSemasa

Penampar singgah di muka Emmanuel Macron

Tamparan diiringi laungan `Down With Macronism’

PARIS : Seorang lelaki bertindak menampar muka Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada hari Selasa (8 Jun) ketika membuat lawatan rasmi di perkampungan Tain-I’Hermitage di wilayah Drome.

Dalam sebuah video yang tular di media sosial, Macron dilihat menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan orang ramai yang berdiri di sebalik penghadang untuk menyambut kehadirannya.

Lelaki yang belum dikenal pasti identitinya, sempat melaungkan `Down With Macron-ism’ sebelum  bertindak menampar muka Macron secara tiba-tiba. Motif individu tersebut bertindak sedemikian juga masih belum diketahui.

Dua pengawal keselamatan Macron segera menahan lelaki tersebut manakala yang lain membawa Macron meninggalkan tempat itu. Namun, Macron masih kelihatan terus berjabat tangan dengan rakyatnya selama beberapa saat dan bercakap dengan seseorang di sebalik penghalang besi itu.

Menurut laporan media Perancis, dua lelaki yang berusia 28 tahun telah ditangkap dan berkemungkinan boleh dikenakan tiga tahun penjara dan denda $ 50,000(RM 205,915.00) atas kesalahan serangan terhadap pegawai awam.

Kedua-dua yang ditangkap dipercayai terlibat dengan perhimpunan penunjuk perasaan ves kuning yang berlaku sepanjang 2018 dan 2019.

Kejadian itu berlaku ketika Macron melawat ke wilayah Drome untuk bertemu dengan pengusaha restoran dan pelajar di wilayah Drome dan berbincang tentang kembali ke kehidupan normal setelah wabak COVID-19.

Susulan insiden itu, tahap keselamatan ke atas Macron dipertingkatkan.

Macron turut menegaskan bahawa beliau tidak takut akan keselamatannya, dan bahawa tidak ada yang akan menghentikannya meneruskan pekerjaannya.

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar

 

Related Articles

Back to top button