Covid19Semasa

Mobile Clinic MAIWP-MAPIM santuni warga PPR Sungai Bonus KL

Oleh: Hasanah Yusof, wartawan pelatih

KUALA LUMPUR : Mobile Clinic ialah program pemeriksaan kesihatan percuma, hasil kerjasama antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyantuni penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus pada hari ini.

Salah seorang penduduk PPR, Suriati Amran, 49, berkata program yang dijalankan amat bagus dan servis yang diberi sangat memuaskan.

“Saya amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan terutamanya oleh doktor di sini.

“Setiap pertanyaan dijawab dengan jelas, kami yang menerima rawatan juga dilayan elok, ubat-ubatan juga diberi secara percuma,” katanya.

Tambah Suriati, program sebegini banyak memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya warga emas yang mendiami PPR, kerana ada antara mereka yang tidak mampu berjalan, lumpuh, mahupun ke hospital.

“Jika dibandingkan dengan rawatan luar kita perlu keluarkan wang, kadang-kadang kos lebih tinggi. Bagi saya bila dah ada program sebegini di depan mata perlu ambil peluang.

“Cuma masalahnya sekarang bila ada rawatan percuma ada segelintir orang yang tak nak ambil peluang tersebut walaupun kami dah uar-uarkan perkara tersebut melalui WhatsApp,” ujar Suriati selaku AJK persatuan PPR.

Program tersebut akan diadakan selama dua hari sehingga esok. Ia bermula jam 10 pagi sehingga 3 petang di lokasi yang sama.

Program ini turut melibatkan empat orang petugas sukarelawan MAPIM Malaysia dan seorang pegawai perubatan. Penglibatan mereka memudahkan lagi urusan pesakit yang memerlukan.

“Insya Allah dengan kerjasama antara MAIWP-MAPIM yang terjalin dapat menjadikan program yang dilaksanakan mendapat sambutan yang luar biasa dalam kalangan penduduk,” katanya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button