KerohanianSemasa

Malaysia bakal hantar jemaah tahun ini?

Bincang dengan Arab Saudi

PUTRAJAYA : Malaysia berkemungkinan besar akan menghantar jemaah haji menunaikan ibadah fardu itu pada tahun ini bergantung kepada perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan perincian lebih lanjut dalam masa terdekat.

“Saya sendiri memang bercita-cita dan berhasrat untuk pergi ke Arab Saudi melihat pelbagai isu terutamanya ibadah umrah dan haji tahun ini. Dalam beberapa hari lagi, saya akan mengeluarkan kenyataan rasmi kerana buat masa ini kita dalam proses mengadakan perbincangan,” – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri

Datuk Seri Zulkifli berkata kepada pemberita selepas majlis pelepasan misi bantuan barangan makanan asas kepada 1,300 keluarga terjejas akibat banjir di Jerantut, Pahang di Putrajaya hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Tabung Haji (TH) semalam yang memaklumkan kira-kira 31,600 bakal jemaah haji yang sepatutnya menunaikan ibadah fardu itu musim lalu ditawarkan semula mengikuti Kursus Asas Haji (KAH) musim 1442H/2021M.

Sejumlah 31,600 bakal jemaah haji yang sepatutnya menunaikan ibadah fardu itu musim lalu ditawarkan semula mengikuti Kursus Asas Haji (KAH) musim 1442H/2021M.

Menurut kenyataan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang dihantar kepada semua peserta terlibat melalui aplikasi WhatsApp semalam, program itu bagaimanapun dijalankan secara dalam talian.

KAH bersiri kali ini malah bermula agak lambat daripada jadual iaitu pada 5 Februari depan berbanding kelazimannya mengikut takwim Hijrah pada 1 Jamadilawal atau 15 Disember lalu.

Susulan kelewatan itu, Tabung Haji memaklumkan bahawa modul KAH sebanyak 14 siri dipadatkan dengan dua siri dibuat secara serentak pada hari sama kursus tersebut hingga 21 Mac depan.

Jadual KAH dan alamat pautan laman Youtube turut disertakan dengan peserta diberi pilihan sama ada menonton secara langsung melalui peranti telefon pintar atau set komputer riba.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button