Covid19KerohanianSemasa

Maal Hijrah 1442H disambut ringkas

Mengikut norma baharu, peserta terhad

KUALA LUMPUR – Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M akan berlangsung dalam majlis ringkas di Masjid Negara, pada 20 Ogos depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata, sambutan itu bakal diadakan mengikut norma baharu dengan jumlah peserta dihadkan, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa bagi mengekang penularan COVID-19.

“Bagi sambutan peringkat Wilayah Persekutuan dan kebangsaan, kita buat dalam bentuk amat ringkas pada petang, insya-Allah akan selesai selepas solat maghrib, serta mengadakan solat hajat pada malamnya.

“Anugerah (Maal Hijrah) akan diadakan pada peringkat kebangsaan di Masjid Negara pada malam itu dalam kapasiti amat terhad dan ringkas, namun tujuannya untuk meninggikan syiar agama serta menzahirkan bahawa semangat hijrah Rasulullah SAW diadaptasi dan dilaksanakan dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Jawatankuasa Task Force Penguatkuasaan Isu-isu Semasa Agama di Media Sosial Bil 1/2020 hari ini.

Menjelaskan lanjut, Zulkifli berkata, sambutan Maal Hijrah pada peringkat negeri pula tertakluk kepada pengurusan di negeri masing-masing.

Sementara itu, beliau berharap supaya penubuhan Jawatankuasa Task Force Penguatkuasaan Isu-isu Semasa Agama di Media Sosial dapat menghasilkan penyelesaian bagi isu berkaitan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), penghinaan terhadap agama Islam, ajaran sesat dan ateisme (fahaman tidak mengakui kewujudan Tuhan).

“Saya berharap pelaksanaan yang berkesan dapat dimuktamadkan. Ia bukan untuk menghukum semata-mata tetapi menyelesaikan masalah umat Islam untuk menuju kehidupan lebih harmoni,” katanya.

Beliau berkata, persidangan itu diadakan bagi meneliti dan mengkaji secara mendalam langkah yang boleh diambil terhadap isu menghina agama Islam dalam media sosial dengan mengambil kira aspek tarbiah, penerangan, pemulihan, pencegahan serta undang-undang.

Persidangan sehari itu disertai ahli mesyuarat yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, antara lain wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. – BERNAMA

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button