KemanusiaanSemasa

Logo MAPIM kini miliki paten hak cipta

Mempertingkat keyakinan awam, elak penyalahgunaan pihak tidak bertanggungjawab

BANGI 25 Feb :  Selaras ke arah memperkasa penubuhannya, Majlis Perunding Pertubuhan Malaysia, MAPIM mengorak langkah melindungi elemen dimilikinya termasuk logo organisasi.

Logo MAPIM Malaysia kini telah berjaya dipatenkan mengikut peruntukan Akta Hak Cipta 1976, dan Peraturan Hak Cipta 1997 Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

Di bawah peruntukan MyIPOs, logo adalah salah satu daripada enam kategori perlindungan MyIPO  iaitu cap dagangan atau trade mark.

Pada tanggal 5 Februari lalu, MAPIM Malaysia telah mencatat sejarah kewujudannya apabila menerima Sijil Pendaftaran di bawah MyIPO.

Perakuan itu yang ditandatangani oleh Pendaftar Cap Dagangan Malaysia, Zulkarnain Mohamad  sekaligus, melindungi logo MAPIM daripada disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Perlindungan paten cap dagangan atau trade mark logo MAPIM itu adalah selama 20 tahun dari tarikh pemfailannya.

Perbaharuan utiliti dilindungi adalah dalam tempoh 10 tahun dan kemudian disambung masing-masing  lima tahun berikutnya, dari tarikh pemfailan tertakluk kepada penggunaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al Kahery mengucapkan rasa syukur di atas pengiktirafan itu.

Menurut beliau bermula dengan pempatenan itu, maka sebarang penggunaan logo dan perkataan ‘MAPIM’ perlulah mendapat persetujuan bertulis daripada pihak MAPIM Malaysia.

Langkah itu katanya adalah bagi mengelak penyalahgunaan serta pemberian gambaran salah terhadap organisasi berkenaan.

Tambah beliau, MAPIM Malaysia bersedia untuk dihubungi pada bila-bila masa untuk sebarang pertanyaan atau maklumat serta mengalu-alukan sebarang kerjasama strategik daripada mana-mana pihak.

Mengikut MyIPO, cap dagangan ertinya apa-apa tanda yang boleh dinyatakan secara grafik yang boleh membezakan barang-barang atau perkhidmatan satu perusahaan daripada perusahaan-perusahaan yang lain. Tanda itu termasuklah apa-apa huruf, perkataan, nama, tandatangan, angka, logo, jenama, tajuk, label, tiket, bentuk barang-barang atau bungkusannya, warna, bunyi, bau, hologram, kedudukan, urutan gerakan atau apa-apa gabungannya.

Tindakan mendaftarkan harta intelek dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bukanlah suatu jaminan mutlak bahawa harta intelek anda tidak akan diciplak atau ditiru.

Bagaimanapun langkah itu sekurang-kurangnya membantu sekiranya ada penyalahgunaan atau penipuan berlaku, membolehkan pemilik paten mempunyai hak yang sah dari sudut perundangan untuk mengambil tindakan lanjut.

Tidak kira sesuatu syarikat itu besar atau pun kecil, pendaftaran harta intelek adalah penting kerana ia merupakan milik atau hak eksklusif bagi membolehkan pihak terbabit mendapatkan bayaran royalti atau pun pampasan jika digunakan oleh pihak lain.

 

 

 

 

 

Related Articles

Back to top button