Covid19Semasa
Trending

Lembaga Zakat Negeri Kedah pastikan penduduk terjejas Covid-19 tidak terputus makanan

Sumbang barangan basah - ayam 2 ekor, ikan 2kg bergilir selang 3 hari

BANGI: Lembaga Zakat Negeri Kedah, LZNK,sentiasa prihatin dengan masalah penduduk di negeri itu yang terjejas akibat Covid-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, LZNK Tuan Sheikh Zakaria Othman, LZNK telah mula memberi bantuan berupa barangan basah demi memastikan penduduk terkesan tidak putus bekalan makanan.

Beliau yang berkata kepada portal berita UmmahToday.com menjelaskan bermula hari ini penginapan kuarters penjara di Alor Setar yang kini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) juga akan menerima barangan basah daripada LZNK.

Tambah beliau, pemberian sumbangan barangan basah itu berupa dua ekor ayam bagi setiap pintu kediaman dan akan digilirkan dengan dua kilogram ikan setiap tiga hari akan diteruskan sehingga tempoh kuarantin yang dikenakan tamat.

Tambah Sheikh Zakaria, LZNK akan sentiasa memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam pengagihan sumbangan barangan basah tersebut.

LZNK katanya mengambil tanggungjawab untuk memberikan bantuan barangan basahan kerana ramai pihak termasuk agensi kerajaan dan NGO lain telah pun menyumbang barangan kering kepada penduduk terjejas.

Katanya, pembekal bagi barangan basah kepada LNK untuk bantuan kepada asnaf dan penduduk yang terjejas Covid-19 diutamakan kepada syarikat-syarikat yang membayar zakat kepada LZNK.

Antaranya ayam segar yang dibekalkan oleh Syarikat Ayam Bismi, manakala bekalan ikan dibeli daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, LKIM.

Seminggu lalu, LZNK memperuntukkan kira-kira RM15,000 untuk menyediakan bantuan barangan basah kepada 88 keluarga yang menghuni Flat Tongkang Yard, Seberang Perak.

Sheikh Zakaria ditemui pada majlis lawatan rasmi pengurusan tertinggi Lembaga Zakat Negeri Kedah ke Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM di Bangi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, (Dr.) Sani Al Araby dan pengurusan kanan MAPIM.

 


Sheikh Zakaria turut mengucapkan terima kasih kepada penyumbang zakat dan pembayar zakat LZNK kerana meluaskan bayaran zakat mereka untuk kebaikan golongan asnaf.

Pada gelombang kedua lalu LZNK telah memperuntukkan sejumlah RM12.9 juta kepada beberapa daerah di Kedah yang terputus bekalan makanan.

Pelaksanaan PKPDB di kuarters penjara Alor Setar, secara pentadbiran dilaksanakan bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 di kawasan terbabit.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan media hari ini menunjukkan kes jangkitan Covid-19 meningkat kepada 423 kes.

Kedah mencatat kes tertinggi iaitu 241 orang dengan Kluster Tembok mengungguli jumlah kes positif 224 kes, diikuti 11 kes kluster baharu Bah Sintok.

Tiga Kluster Jeram, masing-masing satu daripada Kluster Bah Ketil, dan Kluster Sungai.

Manakala satu kes saringan bergejala melibatkan warganegara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button