Ekonomi

Langkah pemulihan atau tutup operasi MAS serah pada Khazanah

Kerajaan tidak akan suntik dana

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan menyuntik sebarang dana ke dalam Malaysia Airlines Bhd dan sebarang langkah pemulihan atau penutupan operasi syarikat penerbangan nasional itu akan diputuskan pemilik tunggalnya iaitu Khazanah Nasional Bhd.

Kerajaan katanya, tidak akan menyuntik sebarang tunai atau modal ke dalam syarikat penerbangan itu sama ada secara langsung atau menerusi Khazanah.

“Khazanah sebagai pemilik tunggak Malaysia Airlines, perlu melaksanakan urusan sendiri dalam memastikan kelangsungan syarikat penerbangan nasional itu.

“Kementerian Kewangan tidak akan menyuntik sebarang tunai atau modal ke dalam syarikat penerbangan (nasional itu). Ketika ini, kami tidak melihat kepada sebarang sokongan daripada kerajaan,” katanya dalam rancangan temubual ‘Breakfast Grille’ oleh radio BFM 89.9, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan berita bahawa Malaysia Aviation Group (MAG) memberi amaran kepada syarikat pajakan bahawa Khazanah akan menghentikan pembiayaan kepada kumpulan, sekali gus mendorong kepada proses gulung tikar jika rundingan penstrukturan semula tidak berjaya.

MAG adalah syarikat induk kepada Malaysia Airlines, Firefly, MASwings, MAB Kargo, AeroDarat Services Sdn Bhd, MAB Academy, perkhidmatan penerbangan umrah dan haji Amal, perkhidmatan penyenggaraan MAB Engineering dan pajakan pesawat.

Mengulas sama ada kerajaan akan memberi jaminan kepada hutang Malaysia Airlines, Tengku Zafrul menegaskan tidak ada jaminan hutang buat masa ini.

Beliau juga menegaskan, ketika ini juga kerajaan tidak melihat kepada sebarang sokongan terhadap syarikat penerbangan nasional itu.

Mengenai sama ada kerajaan akan menutup operasi Malaysia Airlines, Tengku Zafrul berkata, keputusan itu terpulang kepada Khazanah.

Prestasi kewangan Malaysia Airlines dijangka tidak mampu pulih pada separuh kedua 2020 selepas kapasiti penerbangannya merosot hampir 100 peratus dalam enam bulan pertama.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail, berkata kekangan perjalanan global dan perintah kawalan memberikan kesan negatif ke atas operasi dan prestasi kewangannya.

Syarikat, katanya, terpaksa mengurangkan kapasiti penerbangan sehingga 96 peratus antara Mac hingga Jun 2020 dan sehingga kini masih beroperasi pada kadar minimum.

Kadar tempahan keseluruhannya juga mencatatkan kejatuhan sehingga 87 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button