Dunia

Keupayaan TUDM memintas 16 buah pesawat tentera China menjadi bualan dunia

Megah di angkasa

Bangi : Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memintas 16 buah pesawat tentera milik tentera China menjadi bualan di seluruh dunia. Beberapa akhbar utama dunia memetik berita itu dengan nada, ‘Malaysia tidak gentar dengan China’.

Dalam kejadian sebelumnya, 16 buah pesawat Tentera Udara milik China iaitu People’s Liberation Army-Air Force (PLAAF) telah dikesan memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional dalam formasi taktikal.

No 6 Skuadron yang berpangkalan di Labuan, yang menggunakan Hawk 208 segera diletakkan dalam keadaan siap siaga dalam Ops Curiga, sebelum digerakkan bagi memintas pencerobohan pesawat PLAAF. Pesawat PLAAF akhirnya menjauhi ruang udara Malaysia dan kembali ke ruang udara antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, pesawat Hawk buatan United Kingdom yang digunakan oleh TUDM sudah berusia 27 tahun dan ia boleh berkhidmat untuk tempoh lima tahun lagi. Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan United Kingdom dimeterai pada 10 Disember 1990. Empat tahun kemudian, pada 15 April 1994 pesawat Hawk mula terbang gagah di angkasa Malaysia.

Malaysia mendapatkan dua jenis pesawat Hawk iaitu 10 buah pesawat Hawk 108 dan 18 buah Hawk 208. Ia diterima secara berperingkat, dua buah pesawat setiap bulan sehingga lengkap 28 buah pesawat keseluruhan.

Selepas 26 tahun, terdapat 19 buah pesawat Hawk yang masih boleh beroperasi dengan baik di bawah tiga skuadron iaitu, No 6 Skuadron, No 9 Skuadron, dan No 15 Skuadron.

Antara jasa pesawat Hawk adalah semasa Ops Daulat pada Mac 2013, ketika melancarkan serangan udara ke atas pengganas di Lahad Datu Sabah.

Pada Disember tahun lepas, Putrajaya telah meluluskan perolehan bagi mendapatkan pesawat tempur ringan dwi-fungsi yang baharu. Ini bagi mengantikan pesawat  Hawk yang sudah berusia. Sementara menunggu pesawat baharu tiba, pesawat Hawk akan tetap mempertahankan daulat angkasa Malaysia.

Related Articles

Back to top button