Semasa

Kedai di Alamanda disamak

Kakitangan Al-Ikhsan, JAIWP bantu proses sertu

PUTRAJAYA : [VIDEO] Sebuah kedai peralatan sukan –  Al-Ikhsan di pusat beli-belah Alamanda yang dimasuki seekor babi hutan hari Ahad lalu (6 Dis) ditutup sementara bagi kerja-kerja pembersihan dan disamak berlandasan hukum syarak.

Pihak pengurusan Alamanda memberi kenyataan yang dikongsi di laman Facebook memaklumkan proses berkenaan dijalankan oleh pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kenyataan itu turut berkata, “Alamanda menjangka kejadian pada Sabtu lalu tidak memberikan sebarang kesan kepada perniagaan di pusat ini, kerana kes berkenaan berjaya dikawal dengan baik, dan Alamanda akan tetap dibuka serta terus beroperasi seperti biasa.”

Menurutnya pihak pengurusan sentiasa mengutamakan keselamatan dan ketenteraman pengunjung.

“Peniaga dan pekerja mengambil langkah-langkah terperinci untuk memastikan komuniti kami berada dalam keadaan selamat,” 

Sekitar pukul 12.20 tengah hari Ahad, babi hutan tersebut dilihat memasuki Alamanda dari kawasan letak kereta yang dipercayai terlepas dari kawasan hutan berhampiran.

Pihak keselamatan cuba mengejar haiwan liar itu keluar dari kawasan berkenaan namun ia lari dan masuk ke dalam sebuah kedai peralatan sukan di tingkat bawah.

Pasukan bomba dan penyelamat Putrajaya dipanggil sebaik sahaja pihak pengurusan Alamanda maklumkan kejadian itu.  

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pula dalam satu kenyataan berasingan berkata pihaknya akan memasang perangkap di persekitaran berhampiran kawasan pusat beli-belah Alamanda di sini, bagi mengawal populasi haiwan liar itu.

Menurut Perhilitan, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Perbadanan Putrajaya (PPj) meningkatkan pemantauan di kawasan itu; dan PPj serta Pengurusan Alamanda juga akan menambah baik pengurusan sampah bagi mengelak kehadiran babi hutan pada masa akan datang.

Menurut Perhilitan, hasil siasatan bersama Unit Hidupan Liar PPj mendapati babi hutan yang memasuki Alamanda itu berasal dari kawasan berhampiran Tasik Presint 16, di sini, dan terdahulu ia telah tersesat dari kumpulannya.

Video tular insiden babi hutan dalam Alamanda pada Ahad (6 Dis) lalu.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button