Semasa

Ini dia PERAK MAN..!

Rangka manusia berusia 11,000 tahun akhirnya miliki wajah

Lakaran wajah Perak Man
Lakaran wajah ini dibuat menerusi kaedah 3D virtual reconstruction, oleh sekumpulan penyelidik dari USM dan pakar reka bentuk 3D dari Brazil. Sumber foto: USM, Malaysia Journal of Medical Sciences

30 tahun yang lalu, rangka manusia tertua berusia 11,000 tahun ditemui di Lembah Lenggong, Perak.

Rangka tulang manusia pra-sejarah dari zaman batu era Paleolitik itu adalah yang hampir sempurna ditemui di Asia Tenggara dan diberi nama ‘Orang Perak’ atau ‘Perak Man’.

Terkini, wajah Perak Man dilakar dan siap pada 19 Januari 2021. Lakaran itu dibuat menerusi kaedah 3D virtual reconstruction oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) bersama pakar reka bentuk 3D dari Brazil, Cicero Moraes yang merupakan seorang pakar dalam bidang pembinaan semula wajah forensik di negaranya.

Artikel jurnal berkenaan diterbitkan menerusi ‘Malaysian Journal of Medical Sciences USM‘.

Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM Dr Johari Yap yang juga merupakan seorang daripada penyelidik berkenaan berkata projek itu tercetus sejak dua tahun lepas, hasil idea Pakar Bedah Neurosurgeri di Hospital USM Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah.

Dr Johari menjelaskan, Jafri Malin yang banyak menjalankan kajian berkaitan neurosains dan kognitif telah mengajak beliau untuk mereka bentuk semula tulang kepala Perak Man dan seterusnya membuat lakaran wajah Perak Man.

Johari yang memilki kepakaran dalam pengimejan kraniofasial dan rekonstruksi 3D muka serta tengkorak berkata beliau telah menggunakan data imbasan CT Perak Man dan tengkorak yang terbentuk dalam imej 3D untuk dihantar melalui e-mel kepada Moraes bagi menghasilkan lakaran wajah.

Proses Penghasilan 3D Perak Man
Sumber foto: USM, Malaysia Journal of Medical Sciences

Jelasnya sebelum mereka bentuk wajah, Moraes memerlukan maklumat seperti jantina, umur dan keturunan bagi menghasilkan tisu muka berdasarkan ketebalan purata melalui kajian sebelum ini.

“Apabila muka sudah terbentuk, pihak kami akan berbincang mengenai warna mata, warna kulit, rambut berdasarkan Antropologi Forensik. Oleh kerana Perak Man ini dirujuk sebagai ‘Australo-Melanesian’ serta merupakan nenek moyang kepada orang asli Negrito, maka ciri-ciri Negrito banyak mempengaruhi reka bentuk akhir muka Perak Man ini,” katanya.

Dr Johari menambah menerusi perkembangan terbaharu kajian berkenaan, ia dilihat membuka jalan bagi pengkaji menggunakan teknologi abad ke-21 untuk memahami bagaimana interaksi antara otak, minda, tingkah laku dan budaya berlaku pada masa lalu.

Teknologi 3D yang ada sekarang ini mampu menghasilkan lakaran muka yang mampu memberikan kefahaman baharu mengenai penemuan prasejarah di negara kita.

  • sumber BERNAMA

 

 

Adli Effendy

Journalist & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button