Semasa

PM ucap takziah kehilangan petugas barisan hadapan

Cabaran untuk rakyat mendapatkan kesihatan terbaik

KUALA LUMPUR : Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua petugas barisan hadapan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan, Pahang, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya, semalam.

Perdana Menteri yang sedih dengan kejadian itu berkata, beliau dimaklumkan kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan berkala di perkampungan Orang Asli.

“Beginilah dugaan dan cabaran dilalui petugas kesihatan setiap hari bagi memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik.”

“Inilah pengorbanan petugas kesihatan dan barisan hadapan yang lain kepada bangsa dan negara. Saya serta pihak kerajaan amat menghargainya,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam kemalangan jam 10.20 pagi semalam, dua kakitangan PKD Pekan maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 32 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, Tanjung Batu, Pahang.

Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Mohd Zuhairi Abdullah yang memandu pikap jenis Toyota Hilux dan jururawat, Julayha Kudus, 39.

Kejadian dipercayai berlaku apabila lori tangki dari arah Rompin menghala Kuantan dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan dua lagi kenderaan.

Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut mendoakan semoga roh kedua-duanya mangsa terbabit dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

“Saya juga difahamkan seorang pegawai perubatan turut cedera dalam kemalangan itu dan kini sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan. Saya doakan Dr Muhd Ikhwan diberikan kekuatan dan kesembuhan, Insya-Allah,” katanya.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Check Also
Close
Back to top button